Followers

Tuesday, October 12, 2010

Malaysia sekali lagi dipilih anggotai Majlis ITU

KUALA LUMPUR: Malaysia dipilih menganggotai Majlis Kesatuan Telekomunikasi Antarabangsa (ITU) buat penggal keempat berturut-turut pada pemilihan yang diadakan sempena Persidangan Plenipotensiari ITU ke-18 di Guadalajara, Mexico, malam tadi.
Wakil negara, Dr Ali R Ebadi, dipilih semula sebagai wakil ITU dalam Badan Pengawalseliaan Radio (RRB) bagi penggal kedua.
Ali yang juga Penasihat Lembaga Measat Satellite System Pte Ltd yang memenangi pemilihan itu pada 2006, adalah Pengerusi RRB tahun lalu. Beliau menerima 93 daripada 160 undi bagi penggal 2011-2014.
"Terdapat 21 calon bertanding bagi merebut 12 kerusi yang ditawarkan dalam RRB dan calon dari 65 negara bersaing untuk merebut 48 kerusi bagi Majlis ITU," menurut satu kenyataan ITU.

Malaysia yang dipilih sebagai ahli Majlis ITU sejak 1998, memperoleh 127 daripada 161 jumlah undi.

Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Dr Rais Yatim berada di Guadalajara dari 4 Oktober hingga Khamis lalu untuk menghadiri persidangan ITU dan berkempen untuk pencalonan Malaysia bagi merebut dua jawatan itu.

Persidangan ITU yang bermula pada 4 Oktober dan berakhir pada 22 Oktober juga menyaksikan pemilihan semula Dr Hamadoun I Touré dari Mali sebagai Setiausaha Agung ITU dan Zhou Houlin dari China sebagai timbalannya.
Majlis ITU ditubuhkan pada 1947 di bawah nama Badan Tadbir Majlis, mempunyai 48 ahli mewakili 192 negara anggota dan dibahagi kepada lima rantau dunia iaitu Amerika dipanggil sebagai Rantau A yang mempunyai sembilan kerusi yang ditawarkan dalam majlis ITU, Eropah Barat (Rantau B/lapan kerusi), Eropah Timur dan Utara Asia (Rantau C/lima kerusi), Afrika (Rantau D/13 kerusi), Asia dan Australasia (Rantau E/13 kerusi).

Antara peranan Majlis ITU adalah untuk menangani isu dasar telekomunikasi dan menggubal strategi berhubung bidang telekomunikasi yang sentiasa berubah-ubah.

Ia juga menyediakan laporan mengenai dasar dan perancangan strategik ITU, manakala Persidangan Plenipotensiari ITU ialah sidang global yang diadakan empat tahun sekali bagi menetapkan strategi ITU, yang merupakan sebuah agensi Pertubuhan Bangsa Bersatu. - BERNAMA

0 comments: