Followers

Tuesday, October 12, 2010

Ramai peniaga tidak jelas Akta Persaingan Malaysia

ALOR SETAR: Masih ramai peniaga yang tidak jelas mengenai Akta Persaingan Malaysia 2010 yang akan dikuatkuasakan pada 1 Januari 2012 walaupun ia bertujuan mewujudkan persekitaran perniagaan yang kompetitif.
Ketua Unit Interim Suruhanjaya Persaingan, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Shila Dorai Raj, berkata walaupun cadangan pelaksanaan akta itu tidak mendapat bantahan peniaga dan orang ramai, masih banyak persatuan peniagaan yang bimbang akta itu akan menjejaskan operasi mereka.
Sehubungan itu, katanya, pihaknya akan mempergiatkan usaha memberi penerangan mengenai akta itu di seluruh negara dari semasa ke semasa.
"Kita sudah adakan penerangan di Sabah, Sarawak, Johor dan Negeri Sembilan. Hari ini kita di Kedah dan Pulau Pinang. Kami diberi masa 18 bulan (sebelum Januari 2012) untuk memperkenalkan akta ini kepada komuniti perniagaan," katanya kepada pemberita selepas Seminar Pengenalan Akta Persaingan Malaysia 2010 yang dihadiri kira-kira 200 orang di sini hari ini.

Akta berkenaan yang diluluskan oleh Dewan Rakyat pada Mei lalu, diwartakan pada 10 Jun. Ia akan mempunyai dua larangan iaitu perjanjian antipersaingan dan penyalahgunaan kedudukan dominan.

Perjanjian antipersaingan termasuk penetapan harga, kartel import, mengehadkan pengeluaran dan perkongsian pasaran. Penyalahgunaan kedudukan dominan termasuk diskriminasi harga, harga berlebihan dan menafikan akses pasaran.

Shila berkata, ketika ini banyak persatuan melakukan penetapan harga yang menyebabkan mereka tidak bersaing secara sihat tetapi menerusi akta baru itu mereka perlu akur untuk tidak menetapkan harga.
"Bila harga tidak ditetapkan, ada persaingan. Persaingan ini boleh memberikan kebaikan seperti harga yang lebih murah dan perkhidmatan yang lebih baik. Ketika ini pelanggan tiada pilihan bagi harga," katanya.

Katanya, jika akta itu dilaksanakan, mereka yang disabitkan kesalahan kerana tidak mematuhi larangan itu boleh dikenakan denda maksimum 10 peratus daripada perolehan keseluruhan kumpulan syarikat itu.

Beliau berkata, pelaksanaan itu juga mampu menarik lebih ramai pelabur luar ke negara ini kerana ia memberi keyakinan kepada mereka berikutan persaingan yang terbuka.

"Kita bukan nak laksanakan akta ini secara terburu-buru. Kerajaan dah mengkajinya sejak 19 tahun lalu. Sebelum ini tidak dapat dilaksanakan lagi kerana banyak isu dasar yang tidak dapat diselesaikan," katanya. - BERNAMA

0 comments: