Followers

Tuesday, November 10, 2009

Pertemuan dengan Obama baik, mesra: Jamaludin

WASHINGTON: Duta Malaysia ke Amerika Syarikat, Datuk Seri Dr Jamaludin Jarjis, berkata pertemuan pertama beliau dengan Presiden Amerika Syarikat, Barack Obama, adalah "baik dan mesra."

Jamaludin yang menyerahkan watikah pelantikannya kepada Presiden Amerika Syarikat pada 4 November adalah Duta Malaysia pertama yang diterima Presiden Obama.

Meskipun beliau terpaksa menunggu agak lama sejak ketibaannya di Amerika Syarikat untuk menyerahkan watikah pelantikannya kepada Presiden Obama dan lantik secara rasmi sebagai Duta Malaysia ke Amerika Syarikat, Jamaludin kini dapat menjalankan secara rasmi tugas beliau sebagai Duta Malaysia di negara yang beliau lihat sebagai mempunyai "potensi cemerlang" untuk membangunkan hubungan dua hala.

Terdapat pelbagai bidang membabitkan isu kepentingan dua hala di kedua-dua pihak, satu daripadanya ialah ketetapan perjanjian perdagangan bebas (FTA).

Malaysia turut berminat untuk mendapatkan lebih banyak pelaburan dari Amerika Syarikat dan peningkatan perdagangan dengan negara berkenaan.

Jamaludin berkata, beliau percaya Malaysia juga dapat menjadi sumber pelaburan yang bernilai di Amerika Syarikat kerana semakin banyak syarikat di Malaysia yang mengenal pasti peluang pelaburan di luar negara.

"Syarikat di Malaysia perlu mengambil peluang yang disediakan kepada mereka di Amerika Syarikat yang bersikap amat terbuka kepada pelabur asing," katanya di luar kejohanan golf dan boling persahabatan anjuran Kedutaan Malaysia di sini pada Ahad lalu.

Kejohanan persahabatan itu membabitkan petugas kedutaan di Washington DC dan Suruhanjaya Tetap Malaysia ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) serta Konsulat Besar di New York.

Antara yang hadir termasuk Wakil Tetap Malaysia ke PBB Datuk Hamidon Ali dan isteri, Datin Amy Hamidon, selain Konsul Besar Malaysia yang berpusat di New York, M Zamruni Khalid, serta isterinya.

Jamaludin dan Hamidon turut bertukar-tukar cenderahati pada akhir kejohanan itu. - Bernama

0 comments: