Followers

Tuesday, November 10, 2009

Sabah&Sarawak: Jangan bersikap sambil lewa laksana pembangunan

Rakyat kini bijak nilai kualiti kerja yang dijanjikan

KOTA KINABALU: Datuk Seri Najib Razak mahu Kerajaan Sabah terutama agensi pelaksana pembangunan dan pejabat daerah di negeri ini mengubah kaedah bekerja daripada 'asal boleh' kepada 'bekerja lebih kuat' kerana rakyat bijak menilai pelaksanaan pembangunan yang dijanjikan untuk mereka.

Menegaskan perkara itu, Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Musa Aman, berkata agensi kerajaan dan pejabat daerah tidak boleh lagi bersikap sambil lewa dalam melaksanakan pembangunan kerana tanggapan rakyat terhadap kualiti kerja sudah berubah berikutan pelbagai sumber maklumat diperoleh melalui internet.

Katanya, sepanjang bersama Perdana Menteri dalam lawatan kerja dua hari ke Sabah hujung minggu lalu, Najib menegaskan Kerajaan Persekutuan prihatin terhadap keperluan kewangan bagi memajukan infrastruktur dan pelbagai projek pembangunan rakyat di Sabah dan Sarawak.

“Perdana Menteri mengingatkan saya supaya bekerja lebih kuat. Keadaan hari ini bukan macam dulu. Sabah negeri kedua terbesar selepas Sarawak dan masih banyak perlu dilakukan untuk memajukan negeri ini.

“Perdana Menteri juga mahu kita tidak melengah-lengahkan projek pembangunan kerana rakyat akan menilai dan membuat keputusan apabila tiba pilihan raya," katanya berucap merasmikan Persidangan Pegawai Daerah Sabah ke-18 di Le Meridien Hotel di sini, semalam.

Persidangan sehari itu dihadiri semua Pegawai Daerah dan Penolong Pegawai Daerah bertujuan meningkatkan kualiti kerja di peringkat daerah dalam melaksanakan pembangunan ekonomi dan sosial untuk rakyat.

Empat kertas kerja dibentangkan, masing-masing oleh Pengarah Unit Perancangan Ekonomi Negeri (Upen), Datuk Ismail Abdullah; pegawai Kementerian Kewangan dari Putrajaya, S Kumaresan; pegawai Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Abdullah Embong dan Nurhartaty Rahmat serta Pengarah Jabatan Audit Sabah, Juhari Haron.

Najib berada di Sabah Sabtu dan Ahad lalu bagi merasmikan Kongres Nasional Parti Bersatu Sabah (PBS), Perhimpunan Agung Parti Liberal Demokratik (LDP) dan Konvensyen Pertubuhan Pasokmomogun Kadazandusun Murut Bersatu (Upko) - semuanya parti komponen Barisan Nasional (BN).

Musa berkata, pegawai daerah dan penolong pegawai daerah harus mengutamakan integriti kerana ia adalah aspek penting dalam memastikan kejayaan projek pembangunan untuk rakyat.

“Contohnya, kayu untuk buat jambatan. Kalau kita tak memantau kerja dengan betul, kayu itu reput tak sampai tiga bulan kerana kualitinya rendah. Kalau kita periksa betul-betul kayu itu dari awal projek dilaksanakan, perkara seperti ini tak akan berlaku.

"Begitu juga kalau beli skru pemutar. Satu skru pemutar disebut harga RM1,000 dan ini tidak logik. Justeru, adalah penting bagi kita mengamalkan integriti dan ikhlas dalam kerja kita," katanya.

Sehubungan itu, Musa menggesa pegawai daerah dan penolong pegawai daerah bekerja dalam satu pasukan bersama agensi pelaksana pembangunan kerajaan negeri atau Persekutuan serta berusaha mengatasi masalah dihadapi ketika melaksanakan projek berkenaan.

Jika masalah itu tidak boleh diatasi di peringkat pejabat daerah, katanya, mereka perlu segera merujuk kepada Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri atau beliau sendiri.

0 comments: