Followers

Tuesday, November 10, 2009

Sabah&Sarawak: Kampung dicemari sampah

KOTA KINABALU: Penempatan atas air Kampung Sembulan Tengah di sini tidak mampu dikekalkan sebagai perkampungan tradisi seperti Kampung Air Tanjung Aru kerana menghadapi masalah longgokan sampah sarap dan tapak yang sukar dipulihkan.

Datuk Bandar Kota Kinabalu, Datuk Iliyas Ibrahim, berkata sampah yang mencemari kampung itu sukar dibersihkan, manakala tapaknya pula bukan lagi laut seperti sebelum ini.

Berikutan keadaan itu dan kos pelaksanaan penstrukturan semula yang terlalu tinggi, sukar untuk menyusun semula perkampungan berkenaan menjadi kampung tradisi moden dan selesa.

“Yang boleh kita lakukan ialah robohkan saja rumah yang ada di situ dan tapaknya ditimbus untuk dibangunkan dengan pangsapuri. Kalau mahu mengekalkannya, memang mustahil.

“Sebelum ini pun sudah banyak tindakan diambil oleh Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) untuk mengatasi masalah sampah di kampung itu tetapi tidak ada satu pun berjaya. Semuanya sia-sia,” katanya.

Beliau mengulas mengenai kedudukan penempatan atas air Kampung Sembulan Tengah yang tercemar teruk dengan sampah dan air bertakung yang kotor.

Katanya, keadaan itu memalukan kerana mudah dilihat pengunjung luar, khususnya pelancong berikutan kedudukannya yang hampir dengan pusat peranginan dan dikelilingi projek komersial.

“Saya sendiri tidak tahan dengan keadaan itu hingga saya terpaksa menyuruh kakitangan DBKK memasang zink di keliling kampung supaya kotorannya tidak dapat dilihat.

“Saya malu kerana ada pelancong datang ke situ mengambil gambar dan memasukkannya ke dalam internet. Mereka mengatakan bandar raya ini kotor dan tidak terurus,” katanya.

Beliau berkata, masalah sampah-sarap di kampung itu berpunca daripada tindakan penghuni, termasuk pendatang tanpa izin membuang sampah ke air.

"Majoriti yang tinggal di sana sekarang adalah orang luar yang menyewa. Pemiliknya tidak tinggal di situ kerana sudah ada rumah lebih selesa di tempat lain,” katanya.

Sebelum ini, akhbar ini melaporkan mengenai harapan penduduk kampung itu yang mahu penempatan berkenaan dikekalkan sebagai kampung tradisi kerana ia adalah perkampungan Bumiputera tunggal dalam bandar raya ini.

0 comments: