Followers

Tuesday, November 10, 2009

Keadaan banjir di Kelantan semakin pulih

KOTA BAHARU 10 Nov. — Keadaan banjir di Kelantan semakin pulih berikutan hanya hujan renyai-renyai serta cuaca panas di negeri ini dengan 3,643 mangsa masih ditempatkan di 15 pusat pemindahan banjir di dua jajahan iaitu di Pasir Mas dan Tumpat berbanding 4,000 orang semalam.

Ketua Pegawai Pusat Kawalan Operasi Banjir Negeri (PKOBN), Wan Mustapha Wan Abdul Hamid berkata, di Pasir Mas seramai 2,281 orang ditempatkan di 12 pusat pemindahan banjir membabitkan 622 keluarga dan di Tumpat seramai 1,362 orang di tiga pusat pemindahan membabitkan 406 keluarga.

"Daerah-daerah lain sudah kembali pulih,” katanya.

Katanya, jalan-jalan yang ditutup ialah Jalan Rantau Panjang lama di Kampung Siram yang ditutup kepada semua lalu lintas dan di Kampung Meranti, juga di Pasir Mas, hanya boleh dilalui kenderaan berat sahaja.

Di Tumpat, Jalan Kasban masih ditutup kepada semua kenderaan kerana dinaiki air sehingga satu meter.

Tempat menyukat banjir di Kampung Jenob di Sungai Golok masih menunjukkan paras bahaya iaitu sedalam 20.16 meter manakala di Rantau Panjang sedalam 9.22 meter di mana paras bahaya adalah sembilan meter.

Sehingga kini belum ada korban mangsa banjir dilaporkan dalam bencana itu. - Bernama

0 comments: