Followers

Tuesday, November 10, 2009

Najib minta rakyat manfaat laman 1Malaysia

PUTRAJAYA: Datuk Seri Najib Razak meminta rakyat supaya terus memanfaatkan laman web 1Malaysia untuk menyuarakan sebarang rasa tidak puas hati dan mengemukakan cadangan demi kebaikan bersama.

Perdana Menteri berkata, laman web itu memudahkan rakyat untuk berinteraksi dengan beliau dan lebih penting memberi peluang kepada mereka untuk menyuarakan pandangan dalam pelbagai aspek termasuk soal pentadbiran.

"Ini bukan satu laman web yang pasif tapi sebaliknya interaktif sepenuhnya yang mana pengunjung bukan saja boleh membaca pandangan saya tapi juga boleh menghantar terus cadangan mereka secara dalam talian," katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan pembukaan Mesyuarat Panel Penasihat Antarabangsa (IAP) MSC Malaysia Ke-12 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), di sini, hari ini.

Najib mempengerusikan mesyuarat itu buat kali pertama.

Mesyuarat bertema `Ekonomi Inovasi: Merentas Jalan Kemakmuran' itu membincangkan peranan inisiatif MSC Malaysia dalam model ekonomi baru yang diterajui inovasi dan pengetahuan.

Antara ahli IAP yang hadir pada mesyuarat tahun ini ialah Naib Pengerusi BBWorld, Dr Robert Bishop; Naib Presiden Korporat Microsoft, Dr Ya-Qin Zhang; Pengurus Besar Eksekutif Al-Jazeera Children Chanel, Mahmoud Bouneb; Naib Pengerusi Forbes Publishing Co, Christopher Forbes; Pengarah FoodReg Malaysia, Robert Madge dan Naib Presiden Kanan

Huawei Technologies, Ding Yun Ryan.

Perdana Menteri berkata, peluang yang diberikan kepada rakyat untuk mengemukakan pandangan dalam laman web itu sebelum pembentangan Bajet 2010 baru-baru ini menerima lebih daripada 400 maklum balas.

Katanya, selepas bajet pula kira-kira 500 maklum balas diterima dan dipertimbangkan dalam merangka bajet akan datang.

"Rakyat Malaysia yang berminat untuk mengetahui jadual kerja harian saya pada waktu sebenar boleh mengikutinya menerusi Twitter saya," katanya.

Selain itu, Najib juga berkata, kerajaan ketika ini sedang >melaksanakan infrastruktur komunikasi kebangsaan yang lebih maju dan canggih dengan pemasangan aplikasi yang membolehkan 1.2 juta isi rumah dan premis perniagaan yang melanggan internet mendapat kelajuan antara 10 megabait sesaat (mbps) hingga 1 gigabait sesaat (gbps).

Perdana Menteri berkata, rangkaian jalur lebar berkelajuan tinggi itu akan memberi satu platform untuk membangunkan aplikasi teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) untuk masa depan.

Pada masa sama, Najib berkata, perancangan itu akan membolehkan rakyat, komuniti perniagaan dan agensi kerajaan menjadi lebih berdaya saing menerusi teknologi komunikasi terkini.

Sehubungan itu, katanya, kerajaan tidak boleh terus berasa selesa dan sebaliknya perlu merancang untuk membentuk asas lebih kukuh bagi untuk mendapatkan pencapaian lebih baik pada masa depan.

"Kita mahu membina perisian, isi kandungan dan rangkaian sosial kita sendiri dan mahu penyelesaian berkenaan digunakan untuk menyelesaikan cabaran dalam bidang perubatan, alam sekitar, perniagaan dan saintifik," katanya.

0 comments: