Followers

Tuesday, November 10, 2009

Banjir di Kelantan semakin pulih tetapi seorang lagi lemas

KOTA BHARU: Keadaan di kawasan dilanda banjir di Kelantan semakin pulih dengan jumlah mangsa di pusat pemindahan menurun secara mendadak petang ini kepada 1,441 orang, namun banjir di negeri itu telah meragut satu lagi nyawa di Pasir Mas semalam.

Mohamad Syakimi Sayuti, 6, murid Tabika Banggol Chica, ditemui lemas setelah terjatuh dalam tali air ketika bermain bersama adik dan rakannya di Kampung Pak Sek, Pasir Mas.

Pada 6 November lalu, Mohd Mazlan Yajid, 28, lemas ketika mandi di Sungai Banggol Kerian, Pasir Puteh.

Ketua Pegawai Pusat Kawalan Operasi Banjir Negeri, Wan Mustapha Wan Abdul Hamid, berkata di jajahan Tumpat, masih terdapat 1,330 orang mangsa di tiga pusat pemindahan banjir manakala di Pasir Mas, hanya terdapat 111 orang di tiga pusat pemindahan berbanding 2,281 orang di 22 pusat pemindahan pagi tadi.

Katanya, jajahan lain telah kembali pulih, walaupun keadaan cuaca mendung dengan hujan renyai-renyai pada sebelah petang.

Wan Mustapha berkata, jalan-jalan utama yang dinaiki air semalam kini dibuka kepada semua lalulintas kecuali beberapa jalan kampung di Pasir Mas dan Tumpat yang masih ditenggelami air.

Katanya, paras air Sungai Golok di Rantau Panjang berada lebih sedikit daripada paras bahaya iaitu 9.03 meter berbanding paras bahaya 9 meter manakala paras air di sungai utama lain di Kelantan telah surut berada di bawah paras bahaya.

Tinjauan Bernama di sekitar Rantau Panjang mendapati banjir yang menyebabkan bandar zon bebas cukai itu "lumpuh" mulai surut dan penduduknya sibuk membersihkan lumpur di kediaman masing-masing dan di premis perniagaan. - Bernama

0 comments: