Followers

Wednesday, November 4, 2009

KPI: Najib temui menteri Jumaat ini

SHAH ALAM: Datuk Seri Najib Razak akan menemui semua menteri Jumaat ini bagi melihat sejauh mana prestasi kementerian masing-masing mengikut Petunjuk Prestasi Utama (KPI) dan Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA).

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata ia selaras dengan komitmen Perdana Menteri yang tegas untuk mengubah kualiti hidup rakyat negara ini dengan meningkatkan keberkesanan kerajaan sejak memegang jawatan itu April lalu.

"Kita tak boleh main-main, kena serius. Saya percaya kita nak membuktikan walau apa pun keadaannya, Barisan Nasional (BN) adalah sebuah parti lebih berwibawa, berkemampuan untuk menyelesaikan dan membantu membela nasib rakyat.

"Kita lihat apa yang berlaku dalam parti pembangkang, sudah agak macam berkecamuk. Sebab itu ada wakil rakyat sudah meninggalkan parti mereka, tidak masuk Umno tetapi sokong Umno, Badrul (Ahli Dewan Undangan Negeri Pelabuhan Klang, Badrul Hisham Abdullah).

"Saya dengar ramai lagi nak keluar kerana sudah hilang keyakinan kepada pihak parti pembangkang, tidak berkemampuan. Ini bukan saja berlaku di Selangor tetapi juga di negeri lain dan dalam Parti Keadilan Rakyat (PKR), Pas serta DAP.

"Pelbagai masalah berbangkit (di kalangan parti pembangkang) yang menunjukkan tidak ada kemungkinan mereka boleh mentadbir sesebuah negeri sebaik BN," katanya ketika menghadiri Majlis Sepetang Bersama Timbalan Perdana Menteri di Kompleks Warga Emas, di sini, hari ini.

Hadir sama, Timbalan Pengerusi Umno Selangor, Datuk Seri Noh Omar; Penyelaras Parlimen Shah Alam, Datuk Ahmad Nawawi M Zin yang juga Ketua Umno Bahagian Shah Alam dan pemimpin tempatan dari Umno, MCA dan MIC.

Muhyiddin berkata, BN sudah berada di landasan yang jauh lebih baik berbanding setahun lalu kerana sudah ada harapan baru dan keyakinan untuk terus disemarakkan pada masa akan datang.

Sehubungan itu, beliau mengajak pemimpin turun ke bawah dan jelapang, bermesra dengan rakyat sekerap mungkin, selesaikan masalah mereka sebaik mungkin, setidak-tidaknya masih ada upaya di kalangan pimpinan tempatan kerana BN masih menguasai peringkat Pusat.

"Dengan sokongan pimpinan Pusat, kita akan membantu memperkukuhkan parti kita di peringkat negeri walaupun tidak menguasai kerajaan di peringkat negeri.

"Saya yakin komitmen pimpinan parti di peringkat negeri adalah jelas dan sasaran kita tidak lain tidak bukan untuk pastikan kita dapat menebus semula negeri kita, kembalikan kuasa politik kepada BN supaya kita dapat terus membela nasib rakyat," katanya.

Timbalan Perdana Menteri berkata, setiap hari ada langkah baru yang hendak dipelopori pemimpin negara untuk membela nasib segenap lapisan masyarakat.

Justeru, katanya, adalah penting bagi barisan kepemimpinan BN dari peringkat atas hingga akar umbi bersama terbabit mempercepatkan proses perubahan.

0 comments: