Followers

Wednesday, November 4, 2009

Kesan peraturan baru NAP diteliti: Muhyiddin

KUALA LUMPUR: Kerajaan bersedia meneliti semula peraturan baru Dasar Automotif Nasional (NAP) jika ia memberi kesan buruk kepada rakyat, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Timbalan Perdana Menteri, meminta Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (Miti) menyediakan laporan jika berlaku rasa tidak puas hati mana-mana pihak akibat peraturan baru yang mewajibkan kenderaan penumpang berusia lebih 15 tahun menjalani pemeriksaan tahunan di Puspakom sebelum dibenarkan memperbaharui cukai jalan berkuatkuasa 1 Januari tahun depan.

"Mungkin ada pihak yang tidak berpuas hati kerana keretanya akan diuji selepas tempoh tertentu tapi langkah itu bukan untuk menyusahkan tapi untuk tujuan keselamatan," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Muhyiddin berkata, kerajaan sentiasa bersikap terbuka untuk mendengar alasan jika peraturan baru itu membebankan rakyat.

"Mereka harus kemukakan kes-kes kenapa mereka rasa susah untuk syarat itu dikenakan...beban apa, kita boleh dengar kalau ada asas tertentu untuk kita buat pengecualian, itu kita kena telitilah.

"Mungkin ada sesetengah orang yang telah lama memiliki kereta tak mampu membayar kos pemeriksaan dan sebagainya," katanya.

Peraturan baru itu membabitkan kira-kira sejuta kenderaan penumpang dan dilaporkan boleh membebankan golongan kurang kemampuan dan menjejas industri jualan kereta terpakai.

Ia adalah antara 18 langkah baru dalam kajian semula NAP bagi meningkatkan daya saing industri automotif tempatan serta menawarkan kenderaan lebih selamat, mesra alam dan berteknologi tinggi. - Bernama

0 comments: