Followers

Sunday, October 4, 2009

Mangsa gempa masih belum terima bantuan


SEORANG wanita lalu di hadapan sebuah masjid yang runtuh di Kampung Patamuan, di Padang Pariaman, Sumatera Barat.

Penduduk perlu khemah, berlindung dalam tinggalan bangunan

KARIMUN, RIAU: Mangsa gempa di perkampungan Marunggi, daerah Pariaman Selatan, Sumatera Barat yang mana rumah mereka ranap masih belum menerima apa-apa bantuan dalam bentuk makanan mahupun khemah, kata penduduk tempatan.

"Setakat ini kami masih belum menerima apa-apa bantuan sama ada dari kerajaan atau pihak swasta," kata Riyaldi, seorang penduduk tempatan ketika dihubungi pagi semalam.

Riyaldi menerangkan penduduk di kawasan terjejas memerlukan khemah untuk berlindung kerana rumah mereka runtuh.

"Penduduk kini terpaksa berlindung dalam tinggalan bangunan dan bergantung kepada baki bekalan makanan," katanya.

Riyaldi berharap penduduk di kampung itu akan menerima pakej bantuan tidak lama lagi, terutama khemah yang boleh melindungi mereka daripada panas dan hujan.

PENDUDUK berhati-hati melalui suatu kawasan yang mengalami tanah runtuh di daerah Koto Timur, Padang Pariaman.

"Kami juga bimbang anak kami mungkin sakit jika terus hidup dalam keadaan serba kekurangan," tambahnya.

Menurutnya lagi, penduduk kampung cuba mendapatkan bantuan daripada pihak berkuasa tempatan dengan mengambil gambar rumah yang runtuh dan menghantarnya kepada pihak berkuasa berkaitan.

"Kami mendengar kampung lain menerima bekalan mi segera dari penyumbang. Kami berharap kami juga dapat bantuan seperti itu berikutan bekalan makanan kami semakin berkurangan," katanya.

Kira-kira 80 peratus rumah di perkampungan Marunggi runtuh berikutan gempa bumi. Rumah yang rosak terletak merentasi kampung seperti di pasar Kurai Taji, Kampung Apar, Palak Aneh, Kampung Sikumbang dan Tebing Runtuh. � Agensi

0 comments: