Followers

Sunday, October 4, 2009

Majlis raya bersama menteri tukar suram selepas tetamu mati

KANOWIT: Suasana kemeriahan Aidilfitri bersama menteri dengan 300 penduduk kampung di dewan Pejabat Daerah di sini malam tadi bertukar suram apabila seorang tetamu majlis rebah dan mula muntah darah.

Tetamu berkenaan, seorang bapa tunggal berusia dalam lingkuan 40an yang duduk di meja barisan depan, tiba-tiba rebah ketika makanan mula dihidangkan.

Tetamu majlis itu kemudian membawa lelaki berkenaan ke luar dewan di mana dua doktor dari Hospital Daerah Kanowit yang turut hadir cuba memulihkan mangsa tetapi beliau muntah darah.

Mangsa yang dikenali sebagai Wong Sing Hing, kemudian dibawa ke hospital berdepan dengan dewan itu tetapi meninggal dunia dalam perjalanan.

Menteri Perumahan Sarawak, Datuk Amar Abang Johari Tun Openg, dan Menteri Muda Pembangunan Tanah dan Luar Bandar Sarawak, Datuk Gramong Juna, adalah tetamu khas pada majlis anjuran masyarakat Islam dari tiga buah kampung di sini.

Menurut rakan karib mangsa Leong Khing Hee, seorang pemimpin masyarakat Cina dari Bazar Machan di sini, rakannya itu adalah seorang bapa tunggal dengan dua orang anak dan tidak sihat sejak kebelakangan ini.

Katanya, beliau telah menasihatkan mangsa supaya mendapatkan rawatan tetapi mangsa berkata ia adalah masalah kecil sahaja.

Walaupun majlis tersebut diteruskan dengan nyanyian dan cabutan tiket bertuah namum kejadian itu menjadi kejutan kepada semua tetamu. - Bernama

0 comments: