Followers

Thursday, October 1, 2009

5 bangunan retak akibat gempa di Padang

IPOH: Pemeriksaan Jabatan Bomba dan Penyelamat mendapati lima bangunan tinggi di sekitar Lembah Klang mengalami keretakan kecil akibat gempa bumi berskala 7.6 Richter yang melanda Padang, Sumatera, Indonesia pada jam 6.16 petang semalam.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Kong Cho Ha, berkata keretakan tersebut dikesan hasil pemeriksaan terhadap 47 bangunan tinggi di seluruh negara selepas penghuninya menghubungi Jabatan Bomba dan Penyelamat memaklumkan turut merasai gegaran akibat gempa bumi berkenaan.

"Ini bukan bermakna hanya 47 buah bangunan tinggi sahaja yang merasai gegarannya kerana ada juga pemilik bangunan tinggi lain yang tidak melaporkan kepada Jabatan Bomba dan Penyelamat.

"Bagaimanapun retakan yang berlaku di lima buah bangunan tinggi itu didapati tidak serius selepas pemeriksaan oleh jurutera dan pihak yang berkaitan," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Pameran Sains, Teknologi dan Angkasa (SAINTEK) Perak 2009 di Stadium Indera Mulia di sini hari ini.

Katanya, walaupun tiada kemalangan jiwa dan kerosakan harta kesan daripada gempa bumi berkenaan, Jabatan Bomba dan Penyelamat sentiasa bersedia untuk memberi perkhidmatan menyelamat pada bila-bila masa diperlukan.

Gempa bumi semalam dituruti oleh satu lagi gempa bumi berukuran 6.8 pada skala Richter menggegarkan Sumatera Selatan iaitu kira-kira 162 kilometer di Barat Laut Bengkulu, Indonesia pada jam 9.53 pagi tadi. - Bernama

0 comments: