Followers

Thursday, October 1, 2009

Pembantu rumah: Malaysia masih berbincang dengan Indonesia

KUALA LUMPUR: Malaysia masih berbincang dengan kerajaan Indonesia mengenai pengambilan pembantu rumah dari negara itu, kata Menteri Sumber Manusia, Datuk Dr S Subramaniam hari ini.

Katanya, setakat ini kedua-dua negara telah mengadakan perbincangan sebanyak dua kali berhubung isu berkenaan dan pelbagai pendapat dikemukakan kedua-dua pihak mengenainya.

"Kita telah mengadakan dua perbincangan dengan Indonesia iaitu di Jakarta dan selepas itu di Kuala Lumpur dan kita juga masih lagi berbincang mengenai beberapa isu yang berbangkit.

"Satu lagi mesyuarat akan diadakan bulan depan dan saya berharap segala isu yang dibangkitkan kedua-dua negara ini boleh diselesaikan.

"Kita juga berharap pembantu rumah dari Indonesia dibenarkan bekerja semula di Malaysia," katanya kepada pemberita selepas merasmikan perhimpunan agung Persatuan Wartawan Asean ke-16 (CAJ) di sini.

Kerajaan Indonesia sejak 25 Jun lalu telah membekukan sementara penghantaran pembantu rumah ke Malaysia berikutan aduan bahawa golongan itu didera oleh majikan mereka.

Pada 2 September lalu, Malaysia dan Indonesia bersetuju membenarkan pembantu rumah Indonesia diberi cuti sehari dalam seminggu dan mereka juga dibenarkan menyimpan pasport sendiri semasa berada di negara ini.

Keputusan itu dicapai pada mesyuarat ketiga Jawatankuasa Kerja bagi Pengambilan dan Penempatan Pembantu Rumah Indonesia yang diadakan di sini pada 20 Ogos lalu.

Mengenai saranan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, supaya negara mengurangkan kebergantungan kepada tenaga buruh asing, Subramaniam berkata:

"Ini satu pandangan yang betul, satu pandangan yang dikongsi oleh kerajaan. Masa hadapan ekonomi kita adalah untuk memberi tumpuan kepada aktiviti-aktiviti yang diasaskan kepada ekonomi yang menjana pendapatan tinggi.

"Jumlah tenaga kerja Malaysia cuma lebih kurang 12 juta dan oleh yang demikian negara perlu guna tenaga kerja ini secara optimum dengan menambah dan meninggikan taraf kemahiran mereka."

Mengambil contoh keadaan tahun 70-an, Subramaniam berkata era itu adalah era permulaan perindustrian di negara ini dan kebanyakan industri terasas kepada buruh yang berkemahiran rendah.

"Pertamanya, ia tak boleh diteruskan lagi kerana tenaga kerja tak mencukupi dan kedua taraf pendidikan rakyat kita sudah meningkat sampai mereka tidak mahu lagi membuat kerja-kerja yang memerlukan kemahiran rendah.

"Oleh itu, kita sekarang menghadapi cabaran ini. Untuk memastikan satu perubahan dalam perindustrian negara, kita perlu memastikan industri akan menjadi (lebih) berasaskan kemahiran dan dengan itu tenaga kerja akan menjadi berkemahiran tinggi dan secara tidak langsung gaji juga akan naik," katanya.

Subramaniam berkata, pengambilan pekerja asing masih dikawal bagi memastikan keutamaan peluang pekerjaan diberikan kepada rakyat tempatan. - Bernama

0 comments: