Followers

Thursday, October 1, 2009

Rumah terbuka: Orang ramai perlu ambil langkah pencegahan H1N1

KUALA LUMPUR: Orang ramai yang ingin mengunjungi dan menganjurkan rumah terbuka Aidilfitri dinasihatkan supaya mengambil langkah pencegahan Influenza A(H1N1).

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Mohd Ismail Merican, berkata antara langkah pencegahan yang perlu diambil ialah menyediakan tempat kemudahan membasuh atau membersih tangan di samping menjaga kebersihan persekitaran serta menyediakan tempat bagi membuang sampah yang mencukupi untuk membantu membendung penularan H1N1.

"Dalam suasana menyambut Aidilfitri dan sebagai meraikan sambutan ini, terdapat banyak majlis rumah terbuka dan jamuan diadakan.

"Suasana semasa majlis rumah terbuka dan jamuan adalah sesak dengan orang ramai dan dikhuatiri penyebaran virus mudah berlaku," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Dr Mohd Ismail berkata, orang ramai juga digalakkan membawa kit H1N1 iaitu topeng mulut dan hidung, tisu dan sanitizer di mana saja berada termasuk ketika berkunjung ke jamuan rumah terbuka, menaiki kenderaan awam atau berhari raya di rumah sanak-saudara dan rakan. - Bernama

0 comments: