Followers

Thursday, October 1, 2009

H1N1: Tiada kematian baru sejak 19 September lalu

KUALA LUMPUR: Tiada kematian baru akibat Influenza A (H1N1) didaftarkan sejak 19 September lepas dengan angka kematian kekal 77 orang, kata Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia, Tan Sri Dr Mohd Ismail Merican.

Beliau berkata, bagaimanapun 147 pesakit baru gejala influenza-like illness (ILI) dimasukkan ke hospital hari ini menjadikan jumlah semasa kes ILI yang dirawat di seluruh negara kini menjangkau 890 orang, iaitu di 82 hospital termasuk sembilan hospital swasta.

"Walaupun terdapat pengurangan kes sejak kebelakangan ini, namun penularan penyakit Influenza A (H1N1) dalam komuniti masih aktif," katanya dalam satu kenyataan media di sini, hari ini.

Beliau berkata, penyebaran virus Influenza A (H1N1) dikhuatiri berlaku ketika musim perayaan Aidilfitri terutama sekali ketika penganjuran majlis rumah terbuka dan jamuan yang kebiasaannya dipenuhi dengan orang ramai.

Oleh itu, beliau menasihatkan orang ramai yang ingin mengunjungi majlis rumah terbuka dan jamuan Hari Raya supaya mengambil langkah-langkah bagi mencegah jangkitan influenza A (H1N1).

Sementara itu, Dr Mohd Ismail, berkata kesemua kes yang disahkan positif Influenza A (H1N1) mempunyai faktor risiko, iaitu tujuh pesakit terdiri daripada kanak-kanak bawah lima tahun, obesiti (empat), penyakit kronik (enam) dan penyakit respiratori kronik (satu). - Bernama

0 comments: