Followers

Friday, September 11, 2009

Sabah&Sarawak: Pemburuan haram masih berlaku

Kerajaan Sabah perkenal undang-undang lebih ketat

PUTATAN: Kerajaan Sabah masih berdepan masalah kegiatan pemburuan haram, kehilangan habitat dan pemisahan habitat semula jadi hidupan liar yang menyebabkan usaha memulihara dan melindungi hidupan liar di negeri itu terjejas.

Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar negeri, Datuk Masidi Manjun, berkata ancaman berkenaan masih berlaku walaupun pelbagai langkah bagi melindungi dan memulihara hidupan liar di Sabah sudah dirancang serta dilaksanakan sejak sekian lama.

Katanya, kerajaan mengambil berat masalah itu dan berharap ia dapat diatasi menggunakan pendekatan baru yang lebih berkesan menerusi pembentukan undang-undang lebih ketat, pemantauan lebih kerap dan pembentukan rangkaian kawasan dilindungi.

"Pemburuan haram dikenal pasti masih berleluasa di sesetengah tempat, terutama kawasan yang boleh dimasuki orang seperti perladangan dan tapak konsesi, khususnya kawasan yang mempunyai pelbagai spesies haiwan buruan seperti babi hutan dan rusa liar.

"Pemisahan habitat berlaku disebabkan kewujudan tanah ladang atau tanah boleh diteroka antara kawasan dilindungi. Keadaan ini menghalang pergerakan hidupan liar dan boleh mengundang ancaman kepupusan.

"Bagi masalah kehilangan habitat, sebahagian besarnya disebabkan penerokaan tanah untuk pembukaan ladang kelapa sawit. Pada masa ini, luas ladang kelapa sawit di negeri ini ialah 1.33 juta hektar atau kira-kira 30 peratus keluasan Sabah," katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis penyerahan sebuah kenderaan pacuan empat roda dan bot berkuasa tinggi kepada Jabatan Hidupan Liar Sabah oleh syarikat tekstil dari Jepun, Itochu Corporation, di Taman Hidupan Liar Lok Kawi di sini, kelmarin.

Teks ucapannya disampaikan Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar negeri, Datuk Ellron Angin.

Hadir sama Setiausaha Tetap Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar negeri, Datuk Suzanah Liaw; Pengarah Jabatan Hidupan Liar Sabah, Laurentius Ambu dan Pengurus Besar Itochu Corporation, Takashi Tsuneki.

Masidi berkata, bagi mengukuhkan usaha mengatasi masalah itu, kerajaan negeri menjalin hubungan rapat dengan badan bukan kerajaan (NGO) dan organisasi korporat yang prihatin terhadap usaha melindungi hidupan liar.

"Kerjasama NGO dan badan korporat diperlukan terutama dalam menyedarkan orang ramai mengenai kepentingan menjaga habitat dan melindungi hidupan liar di negeri ini sebagai khazanah berharga," katanya.

Usaha itu, katanya, penting bagi memastikan lebih 190 spesies haiwan mamalia dan kira-kira 500 spesies burung yang ditemui di Sabah terhindar daripada ancaman kepupusan.

"Negeri ini bertuah kerana memiliki spesies mamalia seperti Orang Utan, gajah dan badak sumbu Sumatera. Kita perlu melindunginya supaya ia terus wujud," katanya.

Bagi melindungi hidupan berkenaan, katanya kerajaan negeri telah mewartakan seluas 15.95 peratus atau kira-kira 1.17 juta hektar tanah di negeri ini sebagai kawasan dilindungi.

Daripada jumlah itu, katanya, seluas 902,898 hektar atau 12.26 peratus diwartakan sebagai hutan simpan dan simpanan hidupan liar, manakala 271,500 hektar atau 3.68 peratus sudah diwartakan sebagai taman negeri.

0 comments:

Fish