Followers

Friday, September 11, 2009

Rakyat Malaysia jangan ikut emosi, hargai kebebasan

KAJANG: Rakyat Malaysia diingatkan jangan mengikut emosi sehingga hilang pertimbangan dengan melakukan kesalahan yang boleh membawanya ke penjara, sebaliknya mereka perlu berfikiran rasional serta menghargai kebebasan yang dinikmati sekarang.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, berkata rakyat Malaysia kini berhadapan dengan kegagalan untuk mengawal emosi sehingga membangkitkan isu perkauman dan keagamaan yang boleh menggugat kesejahteraan negara.

"Apabila melakukan sesuatu tanpa memikirkan kesan yang diambil dan hanya mengikut emosi semata-mata, akhirnya akan membawa kepada hukuman penjara yang menarik segala kebebasan yang dimiliki sebelum ini," katanya kepada pemberita selepas mengadakan Rakaman Takbir Raya Bersama Penghuni dan Kakitangan Penjara Kajang di sini, hari ini.

Beliau yang turut berkongsi kesedihan dengan nasib yang dilalui penghuni penjara yang tidak dapat bersama keluarga menyambut hari raya yang bakal tiba, berharap apa yang dilalui oleh banduan dijadikan pengajaran oleh semua lapisan masyarakat.

"Bukan semua orang berpeluang bertemu dengan banduan ini, jadi perlu diingatkan pada masyarakat yang sering lupa tentang kelebihan, keistimewaan dan kekuatan negara bangsa kita hanya kerana pertimbangan-pertimbangan lain.

"Saya bersyukur kerana masih lagi bebas tidak berada dalam keadaan mereka yang tidak bernasib baik, mungkin ada di kalangan mereka telah bertaubat, tetapi itulah hukuman yang terpaksa dilalui apabila kita tidak berfikir panjang dan terlalu emosi," katanya.

Selain rakaman takbir yang disertai 200 banduan, Hishammuddin juga turut menyerahkan zakat fitrah berjumlah RM1,099 yang diterima daripada 74 penghuni penjara untuk disampaikan kepada wakil Pusat Zakat Selangor.

Beliau berkata wang zakat itu adalah titik peluh banduan itu sendiri hasil kerja-kerja kemahiran yang dilakukan di dalam penjara.

Seramai 85 banduan juga turut terlibat dalam program tadarus al-Quran yang dijalankan di sepanjang bulan Ramadan.

"Saya sangat terharu kerana walaupun dalam penjara mereka tidak lupa menjalankan tanggungjawab mereka dan diharapkan elemen agama menjadi aspek penting yang mesti diberi penekanan bagi memulihkan banduan," katanya yang turut meletakkan aspek pemulihan dan kemahiran banduan sebagai Petunjuk Prestasi Utama (KPI) Jabatan Penjara. - Bernama

0 comments: