Followers

Friday, September 11, 2009

Perjuangan Umno maju negara selaras tuntutan Islam


NAJIB bersalaman dengan peneroka Felda ketika hadir pada Program Rahmat Ramadan di Felda Teloi Timur, Sik, semalam.

SIK: Datuk Seri Najib Razak, berkata perjuangan kerajaan yang diterajui Umno dalam memajukan negara selaras tuntutan agama Islam, walaupun parti itu tidak mempunyai label Islam.

Perdana Menteri, berkata kerajaan sentiasa berjuang memperbaiki taraf hidup pelbagai lapisan masyarakat yang memang bertepatan dengan kehendak Islam supaya umatnya maju dan membangun untuk bersaing di persada dunia.

"Apakah perjuangan kita tidak selari dengan tuntutan Islam hanya semata-mata parti kita tidak mempunyai label Islam?

"Tidak perlulah kita letakkan label Islam kerana sejak lebih 50 tahun lalu kerajaan inilah yang berjuang membangunkan negara sehingga kita muncul negara maju seperti sekarang.

"Jika kita miskin kita menghampiri kepada kekufuran dan perjuangan kita sebenarnya adalah selaras tuntutan Islam. Perjuangan kita sudah berjaya mengubah kehidupan masyarakat," katanya pada Program Rahmat Ramadan di Felda Teloi Timur, dekat sini semalam.

Perdana Menteri berkata, tidak ada gunanya perjuangan menggunakan label Islam jika ia mengundang perpecahan dalam ummah sehingga menyebabkan perpaduan rapuh dan sentiasa bertelagah.

Hadir sama pada majlis itu isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor; Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah yang juga Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kedah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal dan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Ahmad Maslan.

Perdana Menteri turut berbuka puasa bersama kira-kira 5,000 peneroka Felda dan penduduk sekitar. Beliau kemudian turut menunaikan solat Maghrib, Isyak dan Tarawih berjemaah.

Najib juga meminta umat Islam mengambil iktibar daripada rahmat Ramadan dalam menuju kejayaan.

"Puasa melatih diri membina kekuatan jasmani, rohani dan mendidik kita menguasai nilai yang baik, termasuk kesabaran menghadapi ujian, ketabahan menghadapi dugaan, pemurah dan prihatin kepada mereka yang kurang bernasib baik. Oleh itu, kita hendaklah mengambil rahmat Ramadan itu kerana ia adalah bulan kemuliaan dan kemenangan," katanya.

Sementara itu di GENTING HIGHLANDS, Bernama melaporkan Najib meminta komuniti Hopo, satu subkumpulan komuniti Hakka di seluruh dunia mengambil kesempatan daripada peluang perniagaan dan perdagangan di Malaysia berikutan langkah liberalisasi sepenuhnya subsektor 27 perkhidmatan baru-baru ini.

Perdana Menteri berkata, Malaysia, yang terletak di tengah-tengah Asia Tenggara yang cergas, adalah destinasi berdaya maju dan komuniti Hopo yang mempunyai jaringan di seluruh dunia, berserta pengetahuan dan kepakaran boleh bersatu tenaga dan bekerjasama dengan rakan mereka di Malaysia.

Najib berkata, komuniti Hopo mempunyai kekukuhan sendiri, sama ada modal, teknologi, bahan mentah, saiz pasaran, kuasa membeli, logistik atau rangkaian pengedaran yang boleh disandarkan dan membentuk perkongsian atau ikatan strategik.

"Ahli perniagaan dan usahawan berpadu tenaga dengan rakyat Malaysia untuk melaksanakan projek di Malaysia, China dan malah di negara ketiga," katanya pada Konvensyen Komuniti Hopo Dunia Pertama, di sini semalam. Ia dihadiri oleh kira-kira 1,500 delegasi dari 18 negara.

0 comments: