Followers

Friday, September 11, 2009

Defisit bajet kerana usaha cergas ekonomi: Nor Mohamed

PUTRAJAYA: Defisit bajet negara berlaku akibat kerajaan mengambil peranan utama daripada sektor swasta dalam usaha untuk merangsang dan memulihkan keyakinan rakyat dalam ekonomi semasa waktu sukar, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop.

Beliau berkata, dalam keadaan kemelesetan, sektor swasta tidak berani untuk melabur dan kerajaan perlu melabur lebih sedikit untuk mengangkat keyakinan khasnya pelabur mengenai ekonomi.

"Falsafah negara kita berhubung defisit bajet ialah dalam keadaan susah kita harus berbelanja lebih sedikit untuk membawa keyakinan terhadap sistem ekonomi kita," katanya selepas Majlis Berbuka Puasa Unit Kerjasama Awam Swasta (3PU), Jabatan Perdana Menteri malam tadi.

Kerajaan mengunjurkan defisit bajet akan mencecah 7.6 peratus Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) tahun ini, paras tertinggi sejak 1987 berikutan pakej rangsangan fiskal bernilai RM67 bilion pada November tahun lepas dan Mac tahun ini.

Nor Mohamed berkata, dalam keadaan susah negara harus berbelanja lebih sedikit dan apabila ini dilakukan, berlakulah defisit.

"Kita punya falsafah itu okey. Kemudian dalam keadaan ekonomi senang atau mewah kita kurangkan defisit dan kalau boleh kita bajet berimbang," katanya ketika diminta mengulas mengenai kaji selidik Laporan Melaksanakan Perniagaan 2010 oleh Forum Ekonomi Dunia minggu ini.

Dalam laporan tersebut, kedudukan Malaysia jatuh tiga anak tangga ke tempat ke-23 yang antara lain disebabkan oleh defisit bajet.

Misalnya, akibat daripada kesan ekonomi 1997/98, kerajaan terpaksa berbelanja lebih dan pada 2000 defisit bajet telah naik sedikit sehingga 5.5 peratus.

Tapi selepas ekonomi pulih kerajaan mengambil tindakan untuk menurunkan defisit tahun demi tahun daripada tahun 2000 sehingga 2007 dengan defisit bajet turun sehingga 3.2 peratus.

"Ini menunjukkan yang kita memang berhemat," katanya.

Nor Mohamed berkata dalam keadaan kemelesetan pada 2008 dan 2009 ini, kerajaan juga terpaksa berbelanja lebih sedikit dan apabila ekonomi kembali pulih defisit bajet akan diturunkan semula.

"Kita punya cara menguruskan ekonomi. Tak menjadi isu," katanya.

Oleh itu, pihak yang membuat laporan ini mengenai kedudukan Malaysia di Laporan Daya Saing Dunia perlu melihat rekod prestasi negara, kata beliau.

"Walaupun, kita berbelanja lebih sedikit dalam keadaan kemelesetan bila ekonomi pulih kita akan turunkan defisit.

"Kita akan mengambil pendekatan yang sama pada kali ini dan pada tahun-tahun yang akan datang jika ekonomi mengalami kemeleseten," katanya. - Bernama

0 comments: