Followers

Friday, September 11, 2009

Sabah&Sarawak: Komuniti: Saudara Islam gotong-royong bina surau

Penduduk mahu tunai solat Aidilfitri di kampung sendiri tahun ini

KOTA BELUD: Kesepakatan saudara Islam empat kampung berjiran iaitu Kampung Bangkahak Nayasan, Bangkahak Sum-Sum, Bangkahak Baru dan Bangkahak Lama di sini, membina surau di Kampung Bangkahak Nayasan membolehkan mereka menunaikan solat sunat Aidilfitri di kampung sendiri mulai tahun ini.

Sebelum ini mereka menunaikan solat Jumaat dan hari raya di masjid daerah, 20 kilometer (km) dari kampung itu atau Masjid Jamek Kampung Tambulion, kira-kira lima km dari situ.

Pengerusi surau berkenaan, Dakim @ Jalaluddin Mengkol, berkata perangkaan menunjukkan ada kira-kira 100 penduduk Islam di empat kampung berkenaan yang semuanya saudara Islam.

Beliau yang juga bekas Pegawai Dakwah Pertubuhan Islam Seluruh Sabah (Usia) daerah berkata, tapak surau berkenaan diwakafkan usahawan saudara Islam iaitu Yang Dipertua Yayasan Awadnir, Awadnir Matanggal.

Katanya, Awadnir yang berasal dari Kampung Tengkurus Abadi, berhampiran empat kampung berkenaan turut menyumbang perkakasan untuk membuat surau berkenaan.

"Pada masa sama, ada penduduk secara sukarela menebang pokok menjadikannya papan bagi membolehkan pembinaan surau itu menjadi kenyataan.

"Kami namakan Surau Yayasan Awadnir Matanggal untuk menghargai sumbangan beliau menegakkan syiar Islam di kalangan saudara Islam terutama di Kampung Bangkahak Nayasan, Bangkahak Sum-Sum, Bangkahak Baru dan Bangkahak Lama.

"Pembinaan surau ini sudah lama dinanti dan Alhamdulillah, niat murni kami terkabul pada Ramadan yang mulia ini," katanya.

Sementara itu, Awadnir meminta penduduk setempat memanfaatkan surau itu untuk menunaikan solat berjemaah selain kegiatan keagamaan seperti kelas fardu ain dan kifayah.

"Saya harap surau yang dibina secara bergotong-royong ini akan mengukuhkan hubungan antara saudara Islam di empat kampung terbabit dan pada masa sama dikunjungi jemaah lain," katanya.

0 comments: