Followers

Friday, September 11, 2009

Sabah&Sarawak: BCTJ buka Santuari Hidupan Liar di Kinabatangan

Dana dikumpul tiga tahun lalu melalui tabung di 27 zoo di Jepun

PUTATAN: Amanah Pemuliharaan Borneo Jepun (BCTJ), organisasi bukan kerajaan dari Jepun, mengambil inisiatif mengumpul dana menerusi kutipan derma rakyat negara itu bagi membeli tanah untuk dijadikan koridor hidupan liar di sepanjang Sungai Kinabatangan.

Wakil BCTJ di negeri ini, Dr Tsubouchi Toshinori, berkata inisiatif itu dilaksanakan sejak tiga tahun lalu bagi merealisasikan usaha kerajaan Sabah mewujudkan koridor sebagai laluan hidupan liar di Santuari Hidupan Liar Hilir Kinabatangan.

Katanya, setakat ini pihaknya membeli enam hektar tanah milik individu dan syarikat perladangan di sepanjang sungai berkenaan tetapi keluasan itu masih kecil berbanding anggaran 20,000 hektar tanah diperlukan untuk mewujudkan koridor berkenaan.

"Kami sudah mewujudkan tabung di 27 zoo di seluruh Jepun bagi mengutip sumbangan daripada pengunjung melihat Orang Utan di sana. Kutipan berkenaan akan dikumpulkan sebagai modal membeli tanah di Kinabatangan.

"Tahun ini, kami menyasarkan lapan hektar tanah lagi dapat dibeli untuk tujuan itu. Walaupun kecil, kami harap usaha ini dapat membantu kerajaan Sabah mewartakan tanah berkenaan sebagai tapak pemuliharaan dan koridor hidupan liar di Kinabatangan," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis penyerahan sebuah kenderaan pacuan empat roda dan bot berkuasa tinggi kepada Jabatan Hidupan Liar Sabah oleh sebuah syarikat tekstil dari Jepun, Itochu Corporation di Taman Hidupan Liar Lok Kawi di sini, kelmarin.

Majlis disaksikan Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar negeri, Datuk Ellron Angin dan turut dihadiri Pengarah Jabatan Hidupan Liar Sabah, Laurentius Ambu serta Pengurus Besar Itochu Corporation, Takashi Tsuneki.

Kedua-dua kenderaan itu digunakan dalam aktiviti penguat kuasaan dan pemantauan di kawasan Santuari Hidupan Liar Hilir Kinabatangan.

Dr Tsubouchi berkata, pihaknya menerusi kerjasama Jabatan Hidupan Liar Sabah akan berbincang dengan pemilik tanah di kawasan hilir Sungai Kinabatangan untuk membeli tanah mereka apabila ada dana mencukupi bagi tujuan itu.

Katanya, hanya langkah itu dapat merealisasikan usaha mewujudkan koridor hidupan liar di sepanjang Sungai Kinabatangan dan memastikan hidupan liar di kawasan itu bebas bergerak dari satu kawasan ke kawasan lain di sepanjang sungai berkenaan.

"Jika tanah di kawasan itu tidak diwartakan sebagai tapak pemuliharaan dan koridor hidupan liar gajah dan Orang Utan tidak ada laluan untuk bergerak kerana kawasan itu dipenuhi dengan ladang kelapa sawit milik syarikat atau individu," katanya.

Sementara itu, Setiausaha Tetap Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar negeri, Datuk Suzanah Liaw, berkata pada masa ini banyak badan bukan kerajaan (NGO) menunjukkan minat terhadap usaha kerajaan negeri mewujudkan pusat pemuliharaan dan koridor hidupan liar di hilir Kinabatangan.

Katanya, NGO terbabit yang kebanyakannya dari luar negara datang ke Kinabatangan untuk melihat sendiri keadaan hidupan liar di sana bagi menentukan sumbangan boleh diberikan bagi merealisasikan usaha berkenaan.

"Satu sumbangan NGO ialah mengumpul dana untuk membeli tanah di kawasan itu seperti dilakukan oleh BCTJ. Kerajaan amat berterima kasih kepada mereka kerana mewujudkan koridor hidupan liar di Kinabatangan.

"Secara tidak langsung, usaha pemuliharaan hutan dan hidupan liar di Kinabatangan sudah mempromosikan Sabah kepada rakyat asing. NGO memainkan peranan penting dalam melaksanakannya," katanya.

Usaha mewujudkan koridor hidupan liar di sepanjang Sungai Kinabatangan dilaksanakan beberapa tahun lalu sebagai langkah melindungi haiwan liar yang kehilangan habitat dan laluan untuk bergerak akibat aktiviti perladangan di kawasan itu.

0 comments: