Followers

Wednesday, September 9, 2009

Pakai penutup mulut tidak wajib


Muhyiddin Yassin menanyakan sesuatu kepada seorang pelajar ketika meninjau keadaan calon-calon yang menduduki peperiksaan UPSR di Dewan Sekolah Kebangsaan Bukit Damansara, Kuala Lumpur, semalam.


KUALA LUMPUR 8 Sept. - Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, pemakaian penutup mulut dan hidung tidak akan diwajibkan di kalangan calon yang menduduki Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) yang bermula hari.

Beliau yang juga Menteri Pelajaran berkata, langkah itu tidak perlu diambil memandangkan masyarakat umum termasuk pihak sekolah sudah mempunyai kefahaman dan kesedaran yang baik berhubung wabak selesema babi atau influenza A (H1N1) yang ketika ini semakin terkawal penularannya.

Katanya, pihak Kementerian Pelajaran sendiri turut mengambil langkah perlu untuk memastikan kelancaran peperiksaan dalam tempoh penularan wabak itu termasuk membekalkan pencuci nyah kuman ke setiap sekolah di samping menubuhkan bilik gerakan di peringkat pusat dan negeri.

"Soal mewajibkan (penutup mulut dan hidung) itu tak perlu, terserah kepada budi bicara sekolah dan ibu bapa. Kalau fikir anak-anak mereka perlu, mereka boleh berbuat demikian dan kementerian juga ada membekalkan penutup mulut dan hidung setiap hari kepada pelajar," katanya.

Timbalan Perdana Menteri berkata demikian kepada pemberita selepas meluangkan masa kira-kira 10 minit bagi meninjau proses peperiksaan UPSR di Sekolah Kebangsaan (SK) Bukit Damansara di sini hari ini.

Hadir sama Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Alimuddin Mohd. Dom.

Peperiksaan utama peringkat pusat bermula dengan UPSR yang berlangsung selama tiga hari manakala peperiksaan seterusnya ialah Penilaian Menengah Rendah (PMR) bermula 7 Oktober depan dan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) mulai 19 November ini.

Menurut Muhyiddin, mekanisme yang dilakukan untuk UPSR akan turut dilaksanakan bagi berhadapan dengan peperiksaan utama lain yang akan menyusul selepas ini.

Katanya, masyarakat umum sepatutnya tidak perlu terlalu bimbang kerana sekarang ini bukan sahaja pihak sekolah tetapi rata-rata daripada rakyat sudah tahu bagaimana cara untuk mencegah jangkitan H1N1.

"Pokoknya kita tahu cara menjaga kebersihan diri, bila kita batuk, selesema atau demam maka kita perlu memakai penutup mulut dan hidung bagi mengelakkan ia menjangkiti orang lain.

"Saya fikir murid-murid sekolah, pengetua dan guru-guru pun tahu dan faham. Sekarang ini (keadaan) lebih terkawal. Lagi pun bukan baru kita berdepan dengan wabak ini," jelasnya.

Sementara itu, Muhyiddin berkata, hanya empat calon UPSR di seluruh negara yang terpaksa menduduki peperiksaan tersebut di hospital akibat wabak H1N1 berbanding jumlah keseluruhan calon seramai 518,096.

Katanya, keempat-empat pelajar itu masing-masing dari Sarawak, Johor, Negeri Sembilan dan Pahang.

"Kementerian juga telah membuka bilik gerakan 24 jam peperiksaan UPSR di pejabat Lembaga Peperiksaan Malaysia mulai 1 hingga 11 September manakala bilik gerakan peringkat negeri di Jabatan Pelajaran Negeri yang dibuka serentak dengan di peringkat pusat," ujarnya.

Mengenai nasihat kepada ibu bapa agar tidak memberi tekanan kepada anak-anak mereka untuk mencapai keputusan cemerlang dalam UPSR, Muhyiddin berkata, kebiasaannya ibu bapa akan memberikan tumpuan yang lebih agar anak-anak mereka dapat menguasai dengan baik dalam semua matapelajaran yang diduduki.

"Saya percaya ibu bapa faham dan tahu bagaimana nak memastikan anak-anak mereka tak terganggu. Biasanya dengan cara memberi nasihat, membaca doa dan selawat supaya tenangkan fikiran.

"Walaupun calon UPSR pertama kali mengambil peperiksaan peringkat pusat, mereka ada pengalaman ujian di sekolah. Saya yakin mereka akan dapat menghadapinya dalam suasana tenang," katanya.

0 comments: