Followers

Wednesday, September 9, 2009

PPUKM cipta sejarah pembedahan implan koklear

KUALA LUMPUR: Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM) mencipta sejarah sebagai hospital kerajaan pertama di Asia Tenggara melakukan pembedahan implan koklear yang terkini di dunia.

Pengarah PPUKM, Prof Datuk Dr Lokman Saim, berkata kejayaan melalui pembedahan itu telah memberi harapan baru kepada golongan pekak di negara ini untuk menikmati deria pendengaran seperti golongan biasa.

Katanya, pembedahan pertama dilakukan ke atas seorang wanita berusia 36 tahun yang mengalami pekak separa dan pembedahan kedua dijalankan ke atas seorang kanak-kanak berusia satu tahun sepuluh bulan yang mengalami pekak sepenuhnya sejak dilahirkan.

"Saya dan seorang doktor pakar telinga dari Australia telah melakukan pembedahan ke atas kedua-dua pesakit ini menggunakan implan koklear generasi baru semalam dan pagi tadi. Mereka kini dalam keadaan stabil dan dalam proses pemulihan," katanya kepada pemberita pada sidang media di sini, hari ini.

Menurut Dr Lokman, pembedahan menggunakan implan koklear terbaru yang dikenali 'Cochlear Nucleaus 5' itu mempunyai teknologi terkini dengan ciri-ciri lebih nipis, kecil, canggih dan pemakaianya lebih efektif berbanding implan koklear yang pernah digunakan PPUKM dalam pembedahannya sebelum ini.

Beliau berkata, selepas pulih sepenuhnya daripada kesan pembedahan itu, kedua-dua pesakit itu akan melalui beberapa sesi terapi pertuturan dan audiologi bagi membantu mereka menyesuaikan diri dengan keadaan pendengaran yang baru.

"Sesi terapi ini penting dalam proses pemulihan dan jika pesakit tidak menghadirinya saya kira pembedahan yang telah dilakukan ke atas mereka gagal," katanya.

Katanya, kos pembedahan implan koklear itu ialah antara RM70,000 hingga RM75,000.

Pembedahan yang mengambil masa sejam setengah itu ternyata memberi peluang hidup baru kepada Dewiseri Taib, 36, yang mengalami pekak separa sejak berusia 7 tahun.

Beliau yang bekerja sebagai Pembantu Tadbir di PPUKM berkata beliau mula mengalami pekak separa apabila mendapat jangkitan penyakit pada matanya.

Bagi pasangan suami isteri, Toh Charng Jeng, 37, dan Tan Gek Ling, 35, perasaan gembira tidak mampu diluahkan dengan kata-kata apabila anak kedua mereka, Toh Wan Xi, 1 tahun 10 bulan, yang mengalami pekak sepenuhnya selamat menjalani pembedahan implan koklear dengan jayanya.

"Ini adalah pembedahan kali kedua baginya. Sebelum ini pada usia 10 bulan beliau telah menjalani pembedahan implan koklear pada telinga kirinya," kata Toh.

Menurut Presiden Asia Pacific Coclear Ltd, Mark Salmon, pembedahan implan koklear mampu menyelamatkan kira-kira 400 bayi negara ini yang dilahirkan tanpa deria pendengaran setiap tahun.

Selain itu katanya, PPUKM bukan sahaja melakar kejayaan dalam pembedahan tersebut, malah turut dipilih sebagai lokasi penganjuran bengkel latihan pembedahan implan koklear di kalangan pakar bedah telinga dari 6 buah negara Asia.

"Pakar bedah telinga dari Hong Kong, Indonesia, Thailand, Singapura dan Filipina termasuk Malaysia akan menyertai bengkel di PPUKM dan akan menjalani latihan dengan bimbingan daripada Dr Lokman dan pakar bedah telinga terkenal dari Melbourne, Profesor Rob Briggs," katanya.

Asia Pacific Coclear Ltd adalah syarikat pengeluar teknologi implan koklear yang berpangkalan di Ausralia. - Bernama

0 comments: