Followers

Wednesday, September 9, 2009

Rosmah harap bantuan Ramadan diperluas ikut konsep 1Malaysia

KUALA LUMPUR: Isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor, berharap bantuan yang dihulurkan kepada golongan Orang Kurang Upaya (OKU), ibu tunggal dan miskin pada bulan Ramadan diperluaskan kepada bukan Islam mengikut konsep 1Malaysia.

"Ramadan menyerlahkan keberkatannya bukan hanya kepada umat Islam tetapi juga kepada setiap rakyat Malaysia tanpa mengira agama, kaum dan bangsa," kata beliau ketika berucap di majlis penyampaian sumbangan hari Raya anjuran Yayasan Pendidikan Cheras (YPC) dengan kerjasama Umno Bahagian Cheras di sini hari ini.

Beliau berkata, tradisi itu diharap dapat membimbing generasi muda tentang pentingnya nilai-nilai perpaduan yang merentasi budaya, agama dan bangsa.

"Kebersamaan semua lapisan masyarakat Malaysia meraikan Ramadan tidak akan wujud tanpa keikhlasan, toleransi serta sifat saling hormat-menghormati terhadap perbezaan budaya dan agama yang dianuti masing-masing," katanya.

Rosmah berkata, nilai-nilai persamaan harus ditonjolkan berbanding perbezaan yang hanya akan memusnahkan masa depan masyarakat majmuk di Malaysia.

Beliau juga menyeru kepada badan korporat dan badan-badan bukan kerajaan menuruti tradisi pemberian sumbangan duit raya mengikut konsep 1Malaysia seperti yang diperkenalkan oleh YPC dan Umno Bahagian Cheras.

Pada majlis itu, Rosmah menyampaikan sumbangan duit raya RM300 dan barangan keperluan lain kepada 300 ibu tunggal, OKU dan fakir miskin yang tinggal di sekitar Cheras.

Turut menerima sumbangan ialah 42 orang daripada kaum India dan 50 orang daripada kaum Cina.

Sementara itu, Ketua Umno Bahagian Cheras, Datuk Syed Ali Alhabshee, berkata sejak majlis penyampaian sumbangan dimulakan pada 1994, ini merupakan kali pertama ia diberikan kepada penganut agama lain dan nilai duit raya yang dihulurkan juga meningkat berbanding tahun sebelumnya.

"Pemberian duit raya ini bukan sahaja dapat mengurangkan beban penduduk yang bakal menyambut Aidilfitri tidak lama lagi, malah ia memeriahkan suasana raya dengan berkongsi kegembiraan bersama penganut agama lain yang tidak berkemampuan," katanya kepada pemberita selepas majlis itu. - Bernama

0 comments: