Followers

Thursday, September 10, 2009

Tidak perlu kaji semula pendekatan hubungan Malaysia-Indonesia

KUALA LUMPUR: Malaysia tidak perlu mengkaji semula dasar hubungan luar terutama pendekatan berlembutnya dengan Indonesia hanya kerana isu ganyang Malaysia yang dipelopori segelintir pihak di republik itu, baru-baru ini.

Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr Rais Yatim, berkata peristiwa sedemikian akan muncul dari semasa ke semasa.

"Cuma di Malaysia kita tidak menterjemahkannya seperti yang berlaku di Jakarta... jadi, bak kata Pak Try (Tan Sri Try Sutrisno), kumpulan itu bukan kumpulan yang besar.

"Tetapi nampaknya mereka mempunyai hitungan yang negatif terhadap isu tertentu dan menterjemahkan dengan fizikal...Itulah yang kita tidak mahu.

"Tidak perlu untuk kita mengungkai banyak dasar atau pun perkara yang sudahpun kita setuju...jadi kita serahkan perkara ini kepada pucuk pimpinan kedua-dua negara dan selepas itu kita akan susul," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini selepas bertemu delegasi EPG (Kumpulan Tokoh Terkemuka) Indonesia yang diketuai Jeneral (B) Tan Sri Try Sutrisno.

Beliau berkata demikian ketika ditanya sama ada Malaysia patut mengkaji semula pendekatan berlembut yang diamalkannya dalam hubungan dengan negara lain khususnya Indonesia dalam menangani isu seperti ganyang Malaysia dan tarian Pendet.

Turut hadir pada pertemuan hampir sejam itu ialah Dr Musni Umar dan Dr Pudentia Maria Purenti Sri Sunianti dan Duta Besar Indonesia ke Malaysia Tan Sri Da''i Bachtiar serta Menteri Penasihat Kedutaan Widyarka Ryananta.

Rais berkata sehubungan itu, kementerian akan meneruskan program-program untuk merapatkan silaturrahim antara rakyat di kedua-dua negara.

Katanya, beberapa program juga telah disusun dan akan dilaksanakan tidak lama lagi, antaranya program untuk para wartawan dari kedua-dua negara dan program pertukaran budaya.

"(Pengerusi Media Prima Berhad) Datuk Johan Jaafar akan mewakili Malaysia dan beliau telah berlepas ke Jakarta dua minggu lalu dan telah memberikan beberapa cadangan kepada kementerian untuk tindakan susulan.

Rais berkata projek itu adalah projek antara persatuan kedua-dua negara namun kementerian yang menyokong usaha itu akan menghulurkan bantuan yang diperlukan.

Sementara itu, Try Sutrisno berkata Indonesia komited untuk terus menjalin hubungan mesra dengan Malaysia agar kedua-duanya boleh bekerjasama dan saling menguntungkan kedua-dua pihak. Sehubungan itu, beliau berharap media massa di kedua-dua negara dapat bekerjasama untuk menjelaskan sesuatu isu yang berbangkit dengan lebih tepat untuk difahami oleh rakyat Malaysia dan Indonesia.

Beliau turut ditanya sama ada ini bermakna isu ganyang Malaysia yang sedang hangat di Indonesia sudah selesai.

"Kita kembang dan suburkan hal-hal yang baik tetapi kita tanam dalam-dalam hal-hal yang negatif yang tidak membawa manfaat kepada kedua-dua negara," katanya.

Mengenai isu keselamatan pelajar Malaysia di Indonesia, Try Sutrisno berkata rakyat negara ini tidak perlu khuatir kerana pihak berkuasa negara itu telah dan sedang mengambil langkah-langkah sewajarnya untuk menangani masalah itu.

Widyarka pula berkata, Ketua Polis Indonesia Jeneral Bambang Hendarso Danuri telah menahan dan memeriksa beberapa anggota kumpulan yang terlibat dalam isu ganyang Malaysia hari ini. Sebelum itu, delegasi Indonesia turut menemui ketua delegasi EPG Malaysia iaitu Tun Musa Hitam dan Try Sutrisno menyifatkan pertemuan tersebut berlangsung dalam suasana terbuka dan ikhlas membuahkan hasil yang memberangsangkan.

Bagaimanapun, beliau berkata, isu pendatang asing tanpa izin dan pembantu rumah tidak termasuk antara perkara yang dibincangkan. - Bernama

0 comments: