Followers

Wednesday, September 9, 2009

Sabah&Sarawak: Kegiatan sulam manik beri pulangan lumayan

TAWAU: Kegiatan menyulam manik yang sebelum ini dijadikan kerja sampingan sebahagian besar wanita di daerah ini, berpotensi untuk diperkembang sebagai aktiviti ekonomi memberikan pulangan lumayan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Tanjung Batu, Datuk Hamisa Samat, berkata wanita yang mahir menyulam manik harus melihat potensi berkenaan dan menjadikannya sebagai peluang menambah pendapatan untuk menyara keluarga.

Katanya, ramai wanita yang ada kemahiran berkenaan tidak menyedari potensi untuk mengembangkannya sedangkan produk berasaskan manik mendapat sambutan yang tinggi di pasaran.

"Wanita di daerah ini tidak lagi harus melihat apa yang diusahakan sejak beberapa tahun lalu sebagai aktiviti sampingan. Sebaliknya ia perlu dijadikan perniagaan sampingan yang boleh menghasilkan pendapatan lumayan.

“Kemahiran menjahit dan menyulam manik boleh diperkembang dengan mengambil tempahan daripada individu atau butik pakaian yang perlukan tukang jahit mahir.

“Kita juga boleh memperluas kemahiran itu dengan membuka kelas dan bengkel mengajar teknik menyulam manik untuk tarik minat golongan belia ,” katanya ketika menutup Program Jejari Bestari kursus jahitan manik, anjuran Jabatan Pembangunan Wanita Negeri Sabah, di sini semalam.

Kursus tiga hari itu dihadiri 30 peserta yang terdiri daripada wanita berpendapatan rendah.

Sepanjang kursus itu, peserta diberi pendedahan mengenai beberapa teknik menyulam manik berasaskan corak seperti piramid, bunga dan anak panah.

Hamisa berkata, melalui kursus itu, peserta menimba ilmu mengenai aspek pemasaran seperti mendapatkan tempahan daripada butik, pemilihan manik dan kadar upah jika ingin menjadikannya sebagai perniagaan.

"Berdasarkan kemahiran, peserta boleh membuka kedai atau mencari peluang pekerjaan untuk menambah pendapatan keluarga," katanya.

0 comments: