Followers

Wednesday, September 9, 2009

Malaysia mahu penjelasan keengganan Kedutaan Indonesia baharui pasport amah

PUTRAJAYA: Malaysia mahu penjelasan daripada kerajaan Indonesia berhubung keengganan kedutaannya di Kuala Lumpur untuk memperbaharui pasport pembantu rumah yang bekerja di sini dan meletakkan pelbagai syarat untuk memperbaharui pasport.

Menteri Sumber Manusia, Datuk Dr S Subramaniam, berkata Kabinet dalam mesyuaratnya pagi ini mengarahkan Kementerian Luar dan Atase Kementerian Sumber Manusia di Jakarta untuk mendapatkan penjelasan sewajarnya berhubung tindakan kedutaan itu daripada kerajaan Indonesia.

"Kami menerima aduan daripada pembantu rumah, majikan selain ejen bahawa Kedutaan Indonesia di Kuala Lumpur enggan memperbaharui pasport pembantu rumah warga Indonesia.

"Mereka bertanya jumlah gaji yang dibayar (kepada pembantu rumah) dan jika kurang daripada RM600, pasport mereka tidak akan diperbaharui. Sungguhpun diperbaharui, pelbagai syarat akan dikenakan. Perkara ini telah berlaku sejak sebulan lalu," katanya kepada pemberita.

Subramaniam berkata demikian sebelum mengadakan pertemuan dengan guru sementara sekolah Tamil yang akan menghadiri program ''kursus dalam cuti'', yang akan membolehkan mereka menjadi guru tetap. - Bernama

0 comments: