Followers

Wednesday, September 9, 2009

Sabah & Sarawak: Pengguna dakwa masih sukar dapat bekalan gula di pasaran

KOTA KINABALU: Meskipun bekalan gula di Sabah dilaporkan sudah pulih, tetapi masih ada pengguna mendakwa sukar memperoleh bekalan di pasar raya dan kedai runcit di Papar serta Putatan, dekat sini sejak dua minggu lalu.

Abdul Rahim Omar dari Taman Melinsung, Kinarut dekat sini mendakwa kesukaran mendapatkan bekalan gula bercanggah dengan kenyataan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Sabah sebelum ini bahawa bekalan gula untuk keperluan Ramadan dan Aidilfitri ini mencukupi.

"Baru-baru ini, Pengarah KPDNKK Sabah, Jaafar Walad mengumumkan bekalan gula di Sabah cukup, sedangkan hakikatnya ialah tiada bekalan di Papar dan Putatan sejak dua minggu lalu.

"Di Kampung Melinsung saja, sudah tiga minggu dua kedai runcit tiada bekalan gula," katanya kepada Berita Harian, di sini semalam.

Bagaimanapun, dakwaan Abdul Rahim itu disanggah Timbalan Pengarah KPDNKK Sabah, Rosle Abdul Hamid ketika diminta mengulas.

Beliau berkata, sebanyak 400 tan bekalan gula dari Semenanjung tiba di Pelabuhan Kontena Teluk Sepanggar, dekat sini semalam sebagai tambahan kepada 196 tan yang tiba Rabu lalu.

"Pembekal gula di Semenanjung memberi jaminan akan menambah 1,000 tan lagi menjelang Aidilfitri," katanya ketika ditemui selepas mengiringi Pengerusi Rakan Pengguna Sabah, Datuk Amisah Yassin melakukan pemeriksaan di Bazar Ramadan Asia City, di sini.

Sementara itu, Amisah berkata, peniaga terbabit perlu meningkatkan tahap kebersihan makanan dan premis perniagaan daripada tahap baik kepada sangat baik demi pengguna.

Katanya, ada peniaga menaikkan harga kuih kepada 50 sen sebiji berbanding 30 sen sebelum ini dengan alasan saiznya lebih besar.

Bagaimanapun, setakat ini persatuan itu belum mengambil tindakan terhadap peniaga yang dipercayai sengaja memperdaya pengguna.

0 comments: