Followers

Saturday, August 15, 2009

Sentral: Tangguh program tidak penting elak H1N1: MB

SEREMBAN: Kerajaan negeri mengarahkan jabatan dan agensi kerajaan serta sekolah mengurang program membabitkan ramai orang sebagai langkah pencegahan mengelak penularan wabak Influenza A (H1N1).

Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan, berkata hanya program penting dan tidak boleh ditangguh seperti sambutan Hari Kemerdekaan perlu diteruskan.

"Jika boleh ditangguh, tangguh dulu program berkenaan kerana kesihatan orang ramai adalah lebih utama," katanya selepas mempengerusikan mesyuarat Exco di Wisma Negeri di sini, kelmarin.

Katanya, kerajaan negeri juga sudah lama menubuhkan sebuah jawatankuasa menangani wabak itu yang turut dianggotai Jabatan Kesihatan dan Jabatan Pelajaran.

Mohamad berkata, sebanyak 13 sekolah sebelum ini diarah ditutup kerana ada pelajar dijangkiti H1N1.

Selain itu, katanya semua jabatan dan agensi kerajaan diarah memeriksa suhu badan kakitangan setiap hari sebagai langkah pencegahan.

"Dalam pemeriksaan di Wisma Negeri di sini, ada kakitangan yang didapati demam, tetapi tidak semesti dijangkiti H1N1 tidak dibenarkan masuk dan diarah mendapat pemeriksaan di klinik atau hospital," katanya.

Bagaimanapun, Menteri Besar kesal kerana sebahagian anggota masyarakat masih memandang ringan penularan wabak itu seperti membenarkan anak yang tidak sihat ke sekolah.

"Ada juga yang batuk dan selesema, tetapi pergi ke tempat awam tanpa memakai penutup muka dan ini mendedahkan dirinya dan orang lain dijangkiti H1N1," katanya.

0 comments: