Followers

Saturday, August 15, 2009

H1N1: Pembekal diminta tidak naikkan harga penutup mulut

PUTRAJAYA: Menteri Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berharap pembekal dan peniaga tidak mengambil kesempatan daripada penularan wabak Influenza A (H1N1) sekarang dengan menaikkan harga penutup mulut.

Sambil menjelaskan bahawa kementeriannya tidak mempunyai kuasa untuk mengawal harga penutup mulut kerana ia bukan barang kawalan, beliau berkata pembekal penutup mulut perlu bersimpati dengan rakyat negara ini yang kini sedang menghadapi wabak itu, dengan tidak mengambil kesempatan menaikkan harga penutup mulut.

"Saya bersimpati kepada pengguna yang perlu gunakan penutup mulut itu kerana kalau harga terlalu tinggi memang akan menyusahkan. Kalau tidak guna penutup mulut, nanti bahaya pula

"Peniaga perlu beretika dalam waktu ini. Ada masa untuk untung dan ada masa untuk punyai etika tinggi dan ini patut dianggap sebagai satu tanggungjawab," katanya kepada Bernama.

Dilaporkan bahawa harga penutup mulut dinaikkan di sesetengah tempat dan sukar diperolehi kerana kebanyakan farmasi kehabian stok akibat permintaan yang tinggi dan mendadak.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai, telah memberi peringatan bahawa tindakan tegas akan diambil terhadap pembekal yang menaikkan harga penutup mulut dan produk penyah kuman yang lain, kerana ia membabitkan soal keselamatn negara.

Beliau seterusnya menyerahkan perkara tersebut kepada KPDNKK untuk diambil tindakan.

Ismail Sabri berkata, beliau akan berbincang dengan Liow.

Katanya, beliau tidak menyedari isu kehabisan stok penutup mulut.

"Saya tidak dimaklumkan lagi perkara ini. Walaupun dari segi perdagangan dalam negeri, memang melibatkan kementerian kami, tetapi dari segi barang-barang kesihatan seperti ubat dan sebagainya ia juga melibatkan Kementerian Kesihatan.

"Saya akan maklumkan kepada Liow tentang perkara ini," katanya.

- Bernama

0 comments: