Followers

Saturday, August 15, 2009

Sabah&Sarawak: SESB, TNB diarah tangani masalah gangguan elektrik

KOTA KINABALU: Kerajaan negeri mengarahkan Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) dan Tenaga Nasional Berhad (TNB) mencari jalan terbaik bagi menyelesaikan masalah kekerapan gangguan bekalan elektrik, terutama di Pantai Timur Sabah.

Ketua Menteri, Datuk Seri Musa Aman, berkata kerajaan negeri prihatin dengan masalah dihadapi penduduk, terutama yang tinggal di Pantai Timur berikutan kekerapan gangguan bekalan elektrik di kawasan terbabit.

"Saya sendiri sudah berhubung dengan pihak SESB bagi memastikan masalah ini dapat diselesaikan bagi membolehkan rakyat menikmati bekalan elektrik tanpa gangguan, malah mereka sudah memberi taklimat berhubung perkara itu.

"Kita menyedari masalah ini tetapi tidak perlulah mengadakan demonstrasi kerana kerajaan negeri sudah meminta SESB menyelesaikannya secepat mungkin," katanya dalam sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Skim Pembangunan Kesejahteraan Rakyat (SPKR) dan Pembasmian Kemiskinan peringkat negeri di Wisma Innoprise di sini, kelmarin.

Kelmarin, akhbar tempatan melaporkan kenyataan Ketua DAP Sabah, Dr Hiew King Cheu, yang mendakwa parti itu merancang melakukan protes secara aman berikutan gangguan bekalan elektrik di negeri itu, pada 30 Ogos ini.

Tindakan itu diambil berikutan gangguan elektrik yang berlaku khususnya di Tawau dan Sandakan, sejak akhir-akhir ini sehingga mencecah lebih lima jam.

Mengenai tindakan DAP mahu menyaman SESB berikutan masalah itu, Musa berkata, ia terserah kepada parti itu tetapi mereka perlu memaklumi bahawa gangguan bekalan elektrik yang berlaku di Sabah bukan disengajakan.

0 comments: