Followers

Saturday, August 15, 2009

Sabah&Sarawak: Hak sama rata etnik di Sabah, Sarawak dalam sektor awam

KOTA KINABALU: Semua etnik di Sabah dan Sarawak diberi peluang dan hak sama rata sebagai warganegara Malaysia menyandang pelbagai jawatan dalam perkhidmatan awam.

Memberi jaminan itu, Pengerusi Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA), Tan Sri Jamaluddin Ahmad Damanhunri, berkata aspek berkenaan tidak pernah diabaikan SPA, sejajar konsep 1Malaysia yang diilhamkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

"Bagaimanapun, SPA prihatin terhadap kurangnya permohonan daripada anak watan Sabah dan Sarawak untuk mengisi kekosongan jawatan dalam perkhidmatan awam.

"Sehubungan itu, beberapa langkah proaktif diambil dalam menangani isu ini. Antaranya ialah mengadakan promosi berterusan dan usaha bersungguh-sungguh dari aspek pendedahan peluang kerjaya dalam perkhidmatan awam, mengadakan publisiti dan bekerjasama dengan pelbagai agensi kerajaan," katanya.

Beliau berucap pada penutup Persidangan SPA yang disempurnakan Ketua Setiausaha Negara (KSN), Tan Sri Mohd Sidek Hassan, di Hotel Le Meridien di sini, kelmarin.

Persidangan empat hari itu dihadiri kira-kira 200 pegawai SPA dari seluruh negara, bertujuan membincangkan kaedah meningkatkan pengurusan sumber manusia dalam sektor awam.

Jamaluddin berkata, SPA sedang menjalankan kajian persepsi masyarakat bukan Melayu terhadap kerjaya dalam perkhidmatan awam bagi memahami persepsi mereka.

Antara lain, katanya. kajian itu turut bertujuan memahami prospek kerjaya, perbandingan pola perbezaan persepsi dan minat berdasarkan lokasi atau negeri, mengenal pasti faktor mempengaruhi minat dan mengukur tahap pengaruh faktor itu terhadap persepsi.

"Kajian itu akan membolehkan SPA menyediakan strategi bagi menarik lebih ramai bukan Melayu meyertai perkhidmatan awam," katanya.

Beliau berkata, bagi memastikan perkhidmatan awam dianggotai pegawai berkualiti dan berwibawa, SPA memberi pertimbangan khusus kepada graduan yang memperoleh ijazah kelas pertama dalam pelbagai bidang dan ahli sukan mewakili negara serta negeri.

0 comments: