Followers

Saturday, August 15, 2009

Sabah&Sarawak: Kerajaan negeri syor wujud Taman Perindustrian Halal

Langkah tingkat pengeluaran bagi pasaran domestik dan antarabangsa

KOTA KINABALU: Kerajaan negeri akan mewujudkan Taman Perindustrian Halal bagi meningkatkan pengeluaran barangan makanan halal bagi pasaran domestik dan antarabangsa.

Ketua Menteri, Datuk Seri Musa Aman, berkata taman berkenaan dicadang dibina di kawasan berhampiran Pelabuhan Sepangar dekat sini, bagi memudahkan import dan eksport bahan berkenaan.

Setakat ini, katanya, Kementerian Pembangunan Perindustrian negeri yang diterajui Datuk Raymond Tan Shu Kiah masih dalam peringkat mengenal pasti lokasi sesuai untuk tujuan berkenaan.

Sehubungan itu, katanya, kerajaan negeri akan bekerjsama dengan Persekutuan Pengilang Sabah (FSM) bagi melaksanakan cadangan berkenaan bertujuan meningkatkan kerjasama antara pengilang Bumiputera dengan bukan Bumiputera.

"Hasil lawatan ke Brunei baru-baru ini, saya menerima maklum balas awal positif daripada pelabur negara itu yang berminat menanam modal dalam taman berkenaan.

"Saya yakin, taman itu akan menjadi kenyataan melalui kerjasama dengan FSM," katanya pada sidang media selepas merasmikan Wisma FSM, di Taman Perindustrian Kota Kinabalu (KKIP), Sepanggar, dekat sini semalam.

Hadir sama, Tan dan Presiden FSM, Datuk Wong Khen Thau. Bangunan berkenaan dibina hasil derma 30 ahli FSM yang terbabit dalam perusahaan pembuatan pelbagai produk perkilangan.

Ia adalah mercu tanda kerjasama penghilang di negeri ini selepas berusaha sejak 25 tahun lalu bagi mendapatkan bangunan sendiri untuk pelbagai kegunaan seperti penyelidikan dan pembangunan (R&D), penyediaan maklumat dan latihan untuk pekerja serta rekreasi.

Bagaimanapun, kos pembinaan bangunan berkenaan tidak dinyatakan FSM.

Sementara itu, Tan berkata, kementeriannya akan menyediakan kertas cadangan lengkap mengenai usaha itu selepas kajian mendalam mengenainya dijalankan dan berbincang dengan FSM.

"Kami akan mengumumkannya apabila kajian mendalam itu disempurnakan. Saya yakin, Sabah ada potensi untuk berfungsi sebagai antara negeri pengeluar produk makanan halal," katanya.

0 comments: