Followers

Saturday, August 1, 2009

Sabah & Sarawak: Projek naik taraf KKIA dijangka siap Mac 2010

KOTA KINABALU: Projek pembesaran dan menaik taraf Fasa I dan II Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA) dijangka siap sepenuhnya menjelang Mac tahun depan.

Fasa I membabitkan pembinaan Terminal 1 KKIA yang sepatutnya siap Mei lalu, sudah mencecah 90 peratus dan dijangka selesai Disember ini manakala Fasa II yang merangkumi pembinaan landasan dan Terminal 2 KKIA kini 87 peratus siap serta dijangka siap Mac tahun depan.

Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Datuk Masidi Manjun, berkata kelewatan itu mempunyai kesan besar dalam usaha menjadikan Sabah sebagai destinasi pelancongan utama di negara ini.

"Fasa I sepatutnya siap Mei lalu manakala Fasa II sebulan sebelumnya.

"Bagaimanapun, berdasarkan taklimat Malaysia Airports Berhad (MAB) dan kontraktor, beberapa masalah di luar kawalan menyebabkan ia mengalami sedikit kelewatan.

"Sasaran terbaru ialah projek akan dapat disiapkan sekitar Februari atau Mac depan. Saya sudah meminta perunding dan MAB berbincang untuk mengambil tindakan mengurangkan masa tambahan bagi projek ini kerana turut menjejaskan sektor pelancongan," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mendengar taklimat projek pembesaran dan menaik taraf KKIA serta masalah yang dihadapi di pejabat MAB di sini, kelmarin.

Taklimat dua jam itu disampaikan Pengurus Projek Pakej 1 KLIA Consultancy Services Sdn Bhd, Mohd Fadhil Ramli.

Kedua-dua projek itu menelan kos kira-kira RM1.4 bilion.

Mengenai masalah yang dihadapi MAB dan kontraktor, Masidi berkata, antara lain ia membabitkan pemasangan lampu di utara landasan kerana pihak Kelab Lumba Kuda Diraja Sabah (RSTC) belum berpindah dari kawasan terbabit.

"Keadaan itu memberi kesan kepada kerja pembinaan projek berkenaan. Bagaimanapun, saya difahamkan pihak RSTC sedang berusaha untuk berpindah.

"Saya juga mencadangkan MAB dan perunding memberi taklimat penuh kepada jemaah Kabinet negeri mengenai kelewatan projek itu kerana mungkin ada keputusan yang boleh dibuat bagi menangani masalah berkenaan," katanya.

0 comments: