Followers

Saturday, August 1, 2009

H1N1: Pairin minta Jabatan Kesihatan adakan siasatan menyeluruh

KOTA KINABALU: Timbalan Ketua Menteri Datuk Seri Joseph Pairin Kitingan meminta Jabatan Kesihatan mengadakan siasatan atau kajian lebih menyeluruh supaya keadaan jangkitan Influenza A (H1N1) di negeri ini dapat dibanteras atau sekurang-kurangnya dikawal.

Beliau yang juga Menteri Pembangunan Infrastruktur berharap pihak berkenaan lebih proaktif memberikan maklumat pencegahan khususnya kepada ibu bapa berikutan peningkatan jangkitan virus itu di kalangan murid-murid sekolah.

Pairin menyuarakan kebimbangannya terhadap kes jangkitan H1N1 di kalangan pelajar sekolah yang sehingga kelmarin menyebabkan 11 buah sekolah di seluruh Sabah ditutup akibat jangkitan virus itu.

“Kalaulah mereka (pelajar) tidak ada ke luar negara tetapi dijangkiti H1N1, kita amat berharap agar Jabatan Kesihatan mengadakan siasatan yang lebih terperinci supaya keadaan jangkitan H1N1 di negeri ini dapat dikawal,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, kelmarin.

Pertambahan bilangan sekolah yang ditutup dan jumlah orang yang dijangkiti H1N1 terutamanya kalangan pelajar sekolah di negeri ini, menimbulkan kebimbangan semua pihak.

Pairin berkata, perkembangan itu agak membimbangkan dan mengejutkan kerana berdasarkan laporan, mereka yang dijangkiti khususnya pelajar sekolah tidak pernah ke luar negara sebaliknya dipercayai adalah jangkitan tempatan.

“Oleh itu kita mahu agar pihak berkenaan lebih proaktif memberikan maklumat pencegahan khususnya kepada ibu bapa memandangkan berlakunya peningkatan jangkitan virus ini di kalangan murid sekolah,” katanya.

Selain itu katanya, mereka yang disyaki dijangkiti virus H1N1 perlu diberikan maklumat secukupnya tentang apa yang perlu mereka lakukan, contohnya untuk mendapatkan rawatan dan langkah-langkah pencegahan agar mereka tidak mengjangkiti orang lain.

“Kita mahu pihak berkenaan memberikan maklumat nasihat supaya tidak berlaku lagi jangkitan baru ke atas pelajar sekolah dan juga terhadap orang awam,” katanya.

0 comments: