Followers

Saturday, August 1, 2009

Sabah & Sarawak: Asap kenderaan berlebihan punca kualiti udara merosot

KOTA KINABALU: Sebahagian besar pemilik kenderaan di Sabah didapati tidak menghiraukan pelepasan asap berlebihan dari kenderaan walaupun masalah itu boleh menyebabkan mereka dikompaun atau dikenakan tindakan undang-undang mengikut Peraturan Kualiti Alam Sekeliling 1996.

Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar negeri, Datuk Masidi Manjun, berkata golongan itu hanya menitikberatkan aspek itu apabila ada aktiviti penguatkuasaan dan melupakannya jika tidak dipantau.

Katanya, sikap itu menyebabkan kualiti udara di Sabah merosot, terutama di kawasan bandar dengan peningkatan jumlah kenderaan dan kurangnya kesedaran pemilik membuat penyelenggaraan kenderaan secara berkala.

"Saya lihat kebanyakan pemilik kenderaan di negeri ini tidak ambil kisah mengenai pelepasan asap, malah ada yang kata tidak apa kerana tiada polis atau penguat kuasa melihat asap yang dikeluarkan dari kenderaan mereka.

"Ramai juga tidak peduli mengenai penyelenggaraan kereta. Apabila rosak atau ada masalah, baru dihantar ke bengkel sedangkan kurang penyelenggaraan adalah antara punca pengeluaran asap berlebihan.

"Ini menunjukkan pemilik dan pemandu kenderaan di negeri ini masih kurang kesedaran untuk memelihara kualiti udara sedangkan ia penting untuk kesihatan serta alam sekitar," katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis pelancaran Kempen Udara Bersih Untuk Bandaraya Bersih dan pemeriksaan asap kenderaan anjuran Jabatan Alam sekitar (JAS) Sabah sempena Minggu Alam Sekitar Malaysia (MASM) 2009 di sini, kelmarin.

Hadir sama Pengarah JAS Sabah yang juga pengerusi jawatankuasa pengelola kempen berkenaan, Abdul Razak Abdul Manap.

Masidi berkata, pemilik dan pemandu kenderaan perlu memiliki kesedaran menjaga kebersihan udara dengan memastikan jumlah asap dan gas yang dikeluarkan dari kenderaan mematuhi tahap maksimum yang dibenarkan oleh pihak berkuasa.

"Ramai yang tidak sedar asap dan gas pendingin hawa yang dibebaskan dari kenderaan mengandungi gas berbahaya yang boleh mengancam kesihatan dan alam sekitar.

"Pemilik kenderaan sepatutnya sentiasa membuat pemeriksaan bukan saja untuk mengelak dikenakan tindakan oleh pihak berkuasa tetapi sebagai tanggungjawab menjaga kebersihan udara," katanya.

0 comments: