Followers

Saturday, August 1, 2009

Sabah & Sarawak: Bekalan gula kurang diatasi seminggu lagi

KOTA KINABALU: Kekurangan bekalan gula yang dialami pengguna di Sabah sejak awal bulan lalu akan diatasi dalam masa seminggu lagi apabila pemborong selesai mengedarkannya di semua pasar raya dan kedai runcit seluruh negeri.

Menteri Pembangunan Masyarakat dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Azizah Mohd Dun, berkata enam pemborong sudah dikenal pasti melaksanakan pengedaran itu bermula Khamis lalu hingga 6 Ogos ini.

Katanya, kelewatan kapal dari Semenanjung yang mengangkut gula kerana menunggu muatan barangan lain untuk dihantar bersama bekalan gula menyebabkan bekalan gula di Sabah kehabisan.

"Kapal yang membawa bekalan gula ke negeri ini sudah tiba dan diagihkan kepada enam pemborong yang bertanggungjawab mengedarkannya ke seluruh negeri mulai hari ini (kelmarin) dan dijangka selesai dalam masa seminggu.

"Jadi, pengguna di negeri ini tidak perlu bimbang mengenai ketiadaan gula dan saya berharap mereka tidak berebut membelinya. Kerajaan memberi jaminan bekalannya cukup sehingga musim perayaan bulan depan," katanya.

Beliau berkata demikian selepas mendengar taklimat pengedaran gula daripada enam pemborong utama di Sabah iaitu syarikat Kiat Hong, Chui Thai Seng, Tong Hing, Ta Kiong, Hiap Fong dan DC Giant, di sini, kelmarin.

Khamis lalu, katanya, syarikat Hiap Fong mengagihkan 121 tan gula kepada peruncit di sekitar Sepanggar, Tuaran dan Tamparuli, manakala syarikat Chiu Thai Seng kepada peruncit di Papar, Kundasang, Ranau, Kota Kinabalu dan Beaufort mulai hari ini.

Syarikat DC Giant pula, katanya, akan mengagihkan 150 tan gula kepada peruncit di daerah lain mulai 6 Ogos ini.

"Bekalan kepada pasar raya di sekitar ibu negeri seperti Pasaraya Sunny di Tanjung Aru juga sudah dihantar. Bagaimanapun, setiap pengguna hanya dibenarkan membeli dua kilogram gula bagi mengelak belian borong," katanya.

0 comments: