Followers

Friday, July 31, 2009

Sabah&Sarawak: Pemimpin PBS tak pernah dihalang suara isu

TAMPARULI: Parti Bersatu Sabah (PBS) menolak tanggapan kononnya ia tidak lagi relevan untuk rakyat Sabah berikutan kurang menyuarakan isu pendatang asing tanpa izin secara terbuka seperti pernah dilakukan ketika berada di luar Barisan Nasional (BN), sedekad lalu.

Sebaliknya, PBS mempertahankan parti itu kekal relevan sebagai antara wadah perjuangan rakyat Sabah selagi mereka aktif berfungsi membela nasib rakyat serta menyuarakan pemasalahan kepada kerajaan.

Setiausaha Agungnya, Datuk Radin Maleh, berkata PBS tidak pernah disekat kerajaan BN daripada membangkitkan isu berkaitan pendatang asing tanpa izin di negeri itu kerana usaha berkenaan adalah proses berterusan.

"`Mulut' pemimpin dan ahli PBS tidak pernah ditutup oleh kerajaan BN daripada menyuarakan isu membabitkan kepentingan rakyat Sabah seperti kehadiran warga asing tanpa izin di negeri ini.

"Bagaimanapun, PBS perlu mengubah pendekatan mengikut kesesuaian selepas menyertai komponen BN tetapi tujuannya sama iaitu mengekang kemasukan pendatang asing tanpa izin," katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan PBS bahagian Tamparuli ke-24 di Dewan Pusat Giat Belia Tamparuli di sini, kelmarin.

Turut hadir Naib Presiden PBS, Datuk Michael Asang; Ketua PBS bahagian Tamparuli, Datuk Jahid Jahim; Ketua Pergerakan Wanita PBS Tamparuli, Datin Malianah Ugau dan Ketua Wanita PBS, Datin Jamilah Sulaiman.

Radin berkata, kelantangan PBS menyuarakan isu semasa di Sabah ketika ini tidak wajar disamakan dengan sewaktu PBS bergerak sebagai pembangkang kerana keadaan sudah berubah.

"Sekarang kita mempunyai pelbagai saluran untuk mengemukakan permasalahan rakyat Sabah, maka jangan samakan seperti waktu PBS menjadi pembangkang.

"Ketika menjadi pembangkang, memang boleh hentam (kerajaan) sesuka hati. Kini apabila sudah bersama dalam gabungan kerajaan, kita mengemukakan memorandum mengenai permasalahan pendatang asing tanpa izin di Sabah terus kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak," katanya.

Beliau mengakui sejak PBS menyertai BN, setiap permasalahan dikemukakan parti itu lebih mendapat perhatian dan layanan kerajaan sedangkan keadaan itu tidak dinikmati ketika berjuang sebagai pembangkang.

Sehubungan itu, Radin mengingatkan parti pembangkang supaya berhenti menghasut rakyat Sabah dengan mendakwa PBS tidak mampu memperjuangkan nasib mereka selepas kembali ke pangkuan BN.

"PBS akan terus relevan untuk rakyat Sabah. Apa yang boleh menjadikan parti itu tidak relevan ialah jika ahli dan pemimpin di semua peringkat tidak bersatu hati dan berjuang bersama, ” katanya.

0 comments: