Followers

Friday, July 31, 2009

11 kem PLKN ditutup tujuh hari


JURULATIH, Mohd Kamaruzaman Mohamad memeriksa suhu badan pelatih PLKN disyaki ada tanda jangkitan Influenza A di Kem PLKN Temasya Rimba Templer, Rawang, semalam.

GEORGETOWN: Sebelas kem Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) di seluruh negara ditutup selama tujuh hari sejak awal minggu ini selepas beberapa pelatihnya mempunyai tanda dijangkiti selesema babi atau Influenza A (H1N1).

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata penutupan kem itu membabitkan 4,500 pelatih dan 200 kakitangan.

"Semua pelatih di kem itu sudah diarahkan pulang ke rumah masing-masing dan dikuarantin bagi mengelakkan wabak itu terus merebak," katanya kepada pemberita selepas melawat Markas Dua Divisyen, Bukit Gedung, di sini, semalam.

Antara kem yang ditutup ialah Kem Tangkas Kendiri di Kuala Kangsar; Kem Lagenda Gunung Ledang, Asahan, Melaka; Kem Merang Suria, Setiu, Terengganu; Kem Syruz, Bukit Mertajam, Pulau Pinang dan Kem Sekakap, Mersing, Johor.

Ketika ini, ada 87 kem PLKN di seluruh negara.

Ahmad Zahid berkata, penutupan kem itu tidak membabitkan Pusat PLKN di Sabah dan Sarawak kerana tiada kes dilaporkan setakat ini.

Beliau berkata, pihaknya juga tidak menolak kemungkinan menutup lebih banyak kem PLKN jika ada tanda pelatihnya dijangkiti H1N1.

Berikutan penutupan kem itu, katanya, aktiviti di PLKN terbabit akan disusun semula mengikut modul yang ditetapkan selepas semua pelatih dibenarkan kembali ke kem.

Beliau turut meminta ibu bapa pelatih tidak panik kerana pihaknya mengambil tindakan drastik sambil dipantau Kementerian Kesihatan bagi mengatasi masalah itu.

Sementara itu, Ketua Pengarah Jabatan Latihan Khidmat Negara (JLKN), Datuk Abdul Hadi Awang Kechil, berkata seramai 488 pelatih dari 11 kem PLKN yang ditutup kerana mengalami demam seperti simptom H1N1 sudah dihantar pulang ke rumah masing-masing sejak 27 Julai lalu.

Katanya, mereka didapati mula demam sebaik kembali ke kem masing-masing pada 24 Julai lalu selepas bercuti selama empat hari.

"Ketika ini, hanya 38 pelatih termasuk 15 pelatih wanita di Kem PLKN Temasya Rimba Templer dikuarantin mulai pagi tadi (semalam) kerana demam dan enam daripada mereka mempunyai suhu badan melebihi 38 darjah Celsius. Tetapi, setakat ini belum ada disahkan mengidap H1N1," katanya.

0 comments: