Followers

Friday, July 31, 2009

Doktor tak ikut prosedur kesan H1N1 disoal siasat

Pegawai perubatan perlu faham panduan pemeriksaan kesihatan

PUTRAJAYA: Doktor swasta atau kerajaan yang gagal mematuhi garis panduan Kementerian Kesihatan bagi mengesan jangkitan selesema babi atau Influenza A (H1N1) lebih awal, akan dipanggil untuk disoal siasat, kata Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Mohd Ismail Merican.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Ismail Merican, berkata tindakan itu perlu bagi memastikan semua doktor terutama di hospital kerajaan memahami dan mematuhi prosedur pemeriksaan kesihatan yang ditetapkan berkaitan H1N1.

"Seperti kes kematian pertama membabitkan seorang warga Indonesia, kita akan hantar pasukan diketuai Pengarah Bahagian Kawalan Penyakit, Datuk Dr Hasan Abdul Rahman untuk mendapatkan penjelasan lanjut daripada doktor terbabit.

"Bukan niat kita mahu menjatuhkan hukuman, tetapi untuk mendapatkan penjelasan terhadap apa yang berlaku dan mengapa arahan tidak dipatuhi," katanya pada sidang media selepas merasmikan Simposium Immunologi Klinikal Kebangsaan, di sini, semalam.

Dr Ismail berkata demikian sebagai mengulas pengalaman dua wartawan yang mendakwa doktor dan kakitangan di Hospital Kuala Lumpur (HKL) mengambil mudah terhadap pesakit yang ingin mendapatkan pemeriksaan lanjut berhubung gejala berkaitan H1N1.

Beliau juga memberi jaminan memaklumkan perkara itu kepada pihak pengurusan HKL untuk tindakan lanjut.

Beliau turut menggesa semua doktor memberi lebih perhatian kepada orang ramai yang datang ke hospital untuk menjalani pemeriksaan H1N1, lebih-lebih lagi pesakit asma.

Pada masa sama, Dr Ismail meminta semua doktor memiliki komputer peribadi masing-masing supaya boleh melayari internet dan mendapatkan maklumat terkini perkembangan bidang perubatan seluruh dunia.

"Tolonglah beli komputer dan layari internet terutama laman web kami (Kementerian Kesihatan), supaya maklumat dan pengetahuan lebih terkini.

"Saya faham semua (doktor) sibuk, tetapi perlu beli komputer, tak mahal pun. Doktor perlu tahu apa yang perlu dilakukan, termasuk mengikuti perkembangan terkini Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO)," katanya.

Sementara itu, 14 lagi institusi pendidikan, termasuk 12 sekolah, ditutup seminggu mulai semalam berikutan jangkitan wabak H1N1 di kalangan pelajarnya.

Ia membabitkan Institut Perguruan Tuanku Bainun, Bukit Mertajam, Pulau Pinang; Kolej Pembantu Perubatan Alor Setar, Kedah; empat sekolah di Pahang - Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Jengka, Maran; SMK Abdul Rahman Talib (Kuantan); SMK Clifford (Kuala Lipis) dan Sekolah Menengah Sains Tengku Abdullah (Raub) serta Sekolah Agama Al-Iqa, Teluk Kumbar dan SMK Permatang Pasir, Bukit Mertajam, di Pulau Pinang.

Dua sekolah di Selangor, Sekolah Menengah (SM) Khir Johari, Beranang dan Sekolah Seri Cahaya, Shah Alam serta sebuah sekolah di Melaka, SMK Bukit Baru, turut ditutup.

Tiga lagi sekolah adalah di Sabah iaitu SMK Agama Inanam dan Sekolah Kebangsaan (SK) Stella Maris di Kota Kinabalu serta SK Tebobon, Menggatal, menjadikan keseluruhan 10 sekolah di negeri itu ditutup.

0 comments: