Followers

Friday, July 31, 2009

H1N1: Pelajar matrikulasi diarah jalani pemeriksaan

KUALA LUMPUR: Pelajar Program Matrikulasi Kementerian Pelajaran yang akan mendaftar mulai esok dan Ahad ini dinasihatkan menjalani pemeriksaan kesihatan Influenza A (H1N1) jika mendapati ada tanda-tanda demam selesema itu.

Timbalan Pengarah Bahagian Matrikulasi kementerian itu, Dr Sariah Abdul Jalil, berkata pelajar yang mempunyai perhubungan terus dengan penghidap H1N1 atau mereka yang baru pulang bercuti dari luar negara yang mempunyai risiko wabak Influenza A (H1N1) perlu juga menjalani pemeriksaan kesihatan itu.

"Jika pelajar didapati positif Influenza A(H1N1), mereka hendaklah menangguhkan pendaftaran," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Katanya setelah pulih, pelajar tersebut perlu mengemukakan surat akuan doktor bahawa beliau telah bebas daripada penyakit tersebut kepada pihak kolej semasa mendaftar.

Sementara itu, Naib Canselor Universiti Putra Malaysia (UPM) Prof Datuk Dr Nik Mustapha Abdullah berkata, pelajar yang mengalami gejala penyakit seperti Influenza Like Illness (ILI) yang akan kembali ke kampus pada Selasa ini selepas cuti pertengahan semester dinasihatkan hanya mendaftar semula setelah pulih sepenuhnya.

Selain itu, UPM juga mulai Selasa ini akan menyediakan topeng muka kepada semua pelajarnya, katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata sempena Konvensyen UPM ke-33 yang dijadual pada 8 hingga 11 Ogos ini, ibu bapa, penjaga atau anggota keluarga yang kurang sihat dinasihatkan supaya tidak hadir ke majlis itu dan sekiranya kehadiran tersebut diperlukan, mereka dinasihatkan agar memakai topeng muka sepanjang berada di universiti berkenaan. - Bernama

0 comments: