Followers

Friday, October 8, 2010

Rundingan damai Palestin dengan Israel 'mustahil'

RAMALLAH: Rakan rapat kepada Presiden Palestin, Mahmud Abbas berkata adalah mustahil untuk mengadakan satu rundingan damai yang serius dengan pentadbiran kerajaan Israel sekarang.
Yasser Abed Rabbo, seorang daripada anggota pasukan rundingan Palestin itu berkata, ini berikutan Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu tidak mahu melanjutkan larangan pembinaan penempatan di Tebing Barat yang menjadi isu utama rundingan yang ditaja Amerika Syarikat itu.
“Ia tidak akan menjadi satu proses rundingan yang serius selagi Netanyahu berada dalam kerajaan," kata Abed Rabbo dalam satu temubual dengan AFP.
“Kerajaan ini (Israel) tidak serius dalam mencapai perdamaian di rantau ini," kata sempena Sidang Kemuncak Liga Arab yang bakal diadakan di Sirte, Libya.

Pada sidang kemuncak itu, Abbas dijadual akan menyatakan keputusan muktamadnya sama ada akan menyambung rundingan damai yang ditaja Amerika Syarikat itu atau sebaliknya.

Sementara itu, Penasihat Media Majlis Kebangsaan Palestin, Khaled Mesmar, berkata, selepas mesyuarat di Amman, lewat malam semalam, Abbas memberi isyarat bahawa beliau akan memberitahu "perkara baru dan penting" ketika Sidang Kemuncak Liga Arab di Libya nanti.

“Antara perkara baru itu termasuk kemungkinan untuk menarik diri daripada rundingan damai ini," kata Mesmar. - AFP

0 comments: