Followers

Friday, October 8, 2010

Laporan cadangan pemansuhan UPSR, PMR siap

KUALA LUMPUR: Laporan penuh berhubung cadangan pemansuhan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Penilaian Menengah Rendah (PMR) untuk diganti dengan penilaian berdasarkan sekolah telah siap, kata Timbalan Menteri Pelajaran Dr Mohd Puad Zarkashi.
Katanya, ia akan diumumkan oleh Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin tetapi tarikhnya belum ditetapkan.
Beliau berkata, keputusan sama ada memansuhkan kedua-dua peperiksaan itu perlu dibuat secara berhati-hati bagi memastikan ia merupakan satu keputusan yang memberi manfaat kepada pelajar sekolah di negara ini.
"Ia juga perlu memenuhi objektif kita yang melihat betapa pentingnya pembangunan modal insan ini diberi perhatian untuk melaksanakan penilaian berdasarkan sekolah dalam sistem pendidikan kita," katanya ketika mengulas isu berkenaan pada sidang media selepas menutup Projek Pendidikan Malaysia-Australia untuk Afghanistan atau MAEPA di sini, hari ini.

Sebelum ini, Muhyiddin telah menyatakan bahawa keputusan sama ada untuk memansuhkan atau mengekalkan kedua-dua peperiksaan itu akan dibuat selepas sambutan Hari Raya Aidilfitri.

Sebanyak dua sesi perbincangan meja bulat telah diadakan oleh kementerian itu berhubung cadangan pemansuhan UPSR dan PMR yang melibatkan pelbagai pihak.
Perbincangan meja bulat yang pertama pada 19 Julai dikhususkan untuk wakil pendidik, termasuk pegawai kanan kementerian, pengarah Jabatan Pelajaran Negeri, kesatuan dan persatuan guru, pengetua, guru besar serta kaunselor sekolah.
Perbincangan kedua pada 27 Julai pula dikhususkan untuk mereka di luar kementerian seperti tokoh pendidikan, ahli akademik Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) dan Swasta (IPTS), ahli politik, wakil agensi kerajaan, wakil badan-badan bukan kerajaan (NGO) dan pihak lain yang berminat dan berkepentingan dalam isu ini.

Mengulas mengenai tindakan menukar seorang guru disiplin di sebuah sekolah menengah di Skudai, Johor yang mengedarkan risalah ubat penguat tenaga batin di sekolahnya, Mohd Puad berkara ia merupakan satu amaran bahawa tindakan yang lebih keras akan dikenakan jika guru tersebut mengulangi perbuatannya.

Katanya kementerian tidak akan bertolak-ansur sama sekali dengan perbuatan yang tidak bermoral seperti itu terutamanya apabila melibatkan pelajar sekolah.

"Kita sentiasa memantau isu-isu disiplin di sekolah bukan sahaja di kalangan pelajar, malah guru-guru, kerana ini merupakan soal integriti institusi pendidikan di Malaysia," katanya.

Semalam, sebuah akhbar melaporkan pertukaran guru terbabit dilakukan selepas laporan polis dibuat terhadapnya kerana didakwa mengedar risalah berkenaan kepada pelajar di sekolahnya.

Sementara itu, MAEPA yang diadakan buat kali kedua pada tahun ini adalah projek usahasama Malaysia dan Australia untuk melatih jurulatih utama dari Afghanistan ubagi mempelajari kemahiran pedagogi dan penyampaian pendidikan dalam meningkatkan kualiti pendidikan di negara peserta.

Seramai 30 orang peserta dari Afghanistan termasuk 10 wanita dan tiga penterjemah terlibat dalam projek yang berlangsung selama 14 minggu bermula 5 Julai lalu.

Mereka diberi penekanan dalam aspek penguasaan Bahasa Inggeris dan Pendidikan Islam, literasi dan kemahiran teknologi maklumat dan komunikasi (ICT), serta mendapatkan pengalaman berasaskan sekolah di beberapa sekolah untuk meningkatkan kaedah pengajaran di negara asal mereka. - BERNAMA

0 comments:

There was an error in this gadget