Followers

Friday, October 8, 2010

Pegawai SKMM mungkin dalami bidang forensik di luar negara: Rais

GUADALAJARA (Mexico): Beberapa pegawai Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) mungkin dihantar ke luar negara bagi mendalami kepakaran bidang forensik komputer dalam usaha kerajaan menangani jenayah siber, terutama dalam kes menghina Sultan, menghasut dan pornografi kanak-kanak.

Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr Rais Yatim, berkata pegawai-pegawai itu akan dilatih untuk menjadi pakar "penyusul dan merungkai" segala keterangan yang diperlukan bagi mendakwa mereka yang terlibat dengan jenayah siber di mahkamah.
"Bagaimanapun tidak dinafikan kos untuk menjalani kursus ini agak tinggi," katanya kepada Bernama dan RTM selepas menghadiri hari keempat Persidangan Plenipotensiari Kesatuan Telekomunikasi Antarabangsa (ITU) di Pusat Ekspo Guadalajara di sini hari ini.
Rais berkata dengan adanaya kepakaran forensik mengenai komputer, segala maklumat yang dihapuskan masih boleh dapat dikesan daripada cakera keras.

Katanya kepakaran dalam bidang perundangan dan pembuktian perlu ada walaupun negara mempunyai Akta Keterangan dan Akta Telekomunikasi untuk mendakwa mereka yang terlibat dalam jenayah siber.

Namun, kata beliau, kepakaran mengenai Akta Keterangan 1950 dan Akta Telekomunikasi tidak mencukupi tanpa kecekapan dan kepakaran untuk mengemukakan bukti yang kukuh mengenai kesalahan yang dilakukan.

Rais berkata tindakan untuk mendakwa mereka yang bersalah dalam kegiatan jenayah siber bukanlah semudah mendakwa mereka yang terlibat dengan kes mencuri dan sebagainya kerana jenayah siber memerlukan pelbagai peringkat siasatan dan turut mempunyai beberapa hadangan.
"Akta Keterangan 1950 sendiri mempunyai berberapa hadangan menyebabkan Peguam Negara sendiri tidak semudah yang dijangka untuk mengambil tindakan mahkamah terhadap mereka yang didapati melakukan jenayah siber, terutama dari segi keterangan dan bukti," katanya.

Rais berkata bagi memastikan sesuatu kes itu dapat dihadapkan ke mahkamah, kesahihan keterangan itu bukan sahaja perlu ditentukan oleh sesuatu pihak tetapi juga oleh pegawai kementerian dan SKMM memandangkan mereka mempunyai kepakaran dan rumusan tersendiri.

Untuk itu pegawai kementerian dan juga bahagian penguatkuasa SKKM akan bekerjasama dengan Polis Diraja Malaysia dan Peguam Negara supaya beberapa kes penting ini dapat disusuli, kataya.

"Kami di kementerian dan SKMM mempunyai kepakaran dan rumusan tersendiri di mana mungkin pegawai lain tidak maklum. Jadi kami akan bantu mereka seperti dalam kes-kes menghina Raja, menghina Islam, memecah belah masyarakat dan hasutan serta pornografi kanak-kanak," katanya.

Rais berkaa beliau bercadang untuk mengadakan perbincangan bersama pihak polis, Peguam Negara, SKMM serta pihak swasta yang mempunyai kepentingan pada bulan depan.

"Saya akan terangkan skopnya dan mereka boleh cadangkan fokus mereka. Azam kita ialah untuk melakukannya dengan cekap," katanya.

Baru-baru ini, Rais berkata bahawa sudah ada 13 kes dikemukakan kepada Pejabat Peguam Negara, membabitkan cubaan memperlekehkan Yang di-Pertuan Agong dan Sultan Perak serta Sultan Johor, menghina agama lain, menghasut, menyebarkan pembohongan, mencuri data dan membangkitkan sentimen perkauman yang sensitif.

Pada persidangan hari ini, beliau turut mengambil bahagian dalam pemilihan jawatan setiausaha agung dan timbalan setiausaha agung ITU di mana Dr Hamadoun Toure kekal sebagai setiausaha agung dan Zhou Houlin kekal sebagai timbalan.

Walaupun kedua-dua mereka tidak dicabar, proses pengundian tetap diteruskan. Toure dari Mali mendapat 151 undi daripada 157 negara yang hadir manakala Zhou dari China mendapat 155 undi.

Rais, yang diiringi isterinya Datin Seri Masnah Rais, berlepas pulang ke Malaysia tengah hari ini setelah berada di sini sejak Isnin bagi menghadiri persidangan itu. - BERNAMA

0 comments:

There was an error in this gadget