Followers

Friday, October 8, 2010

Tangkapan warga Iran edar dadah di Malaysia bertambah

KUALA LUMPUR: Penglibatan warga Iran dalam kegiatan pengedaran dadah di Malaysia menunjukkan peningkatan ketara dalam masa dua tahun ini dengan 138 rakyat negara itu diberkas tahun ini berbanding 16 tangkapan pada 2009.
Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Wira Abu Seman Yusop, berkata daripada jumlah itu, 121 tangkapan terdiri daripada "keldai dadah", iaitu orang yang dipergunakan untuk membawa dadah, dan bakinya disyaki pengendali dan anggota sindiket dadah.
"Dadah jenis syabu turut diseludup menggunakan kargo udara iaitu penerbangan dari Tehran melalui transit Dubai, Armenia, Kish, Doha, Colombo, sebelum tiba di Malaysia," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Sehingga 5 Oktober lalu, rampasan syabu ialah 288.65 kilogram (kg), cecair syabu (466kg), minyak syabu (327kg) dan kokain (4kg).

Abu Seman yang baru pulang daripada selama lima hari ke Iran, berkata bahawa dalam perbincangannnya dengan pihak berkuasa Iran, beliau telah membangkitkan isu tentang warga Iran yang ditangkap di Malaysia kerana kesalahan mengedar dan memiliki dadah.

Katanya beliau telah menekankan pentingnya kerjasama kedua-dua pihak untuk menyekat laluan kemasukan dadah di kedua-dua negara dan usaha mempertingkatkan kemampuan agensi penguatkuasa masing-masing.

"Satu pelan tindakan dirangka bagi meneliti beberapa bidang seperti mesyuarat secara berkala diadakan oleh kedua-dua agensi penguatkuasa, pertukaran maklumat dan kerjasama untuk menyekat warga Iran menjadi keldai dadah, perkongsian kepakaran dalam mengesan sindiket dadah dan penubuhan kumpulan kerja untuk mempertingkatkan kerjasama membasmi penagihan dan penyeludupan dadah," katanya.

Beliau juga berkata delegasi Malaysia juga dapat mempelajari satu kaedah rawatan penagihan dadah di Iran yang menyediakan perkhidmatan kesihatan yang komprehensif kepada penagih dadah.

"Saya berharap program tersebut dapat diserapkan dan dilaksanakan di klinik Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik, 1Malaysia yang telah beroperasi sejak Julai lalu," katanya. - BERNAMA

0 comments: