Followers

Friday, October 8, 2010

Panggilan semula Gen2, Satria Neo sebahagian komitmen Proton

PETALING JAYA: Pengeluar kereta nasional Proton Holdings Bhd Proton menganggap langkahnya memanggil semula model Gen2 dan Satria Neo ekoran kerosakan bahagian komponen sebagai satu tindakan positif, dengan menyatakan ia tidak akan memberi kesan buruk kepada prestasi syarikat.

Pengarah Urusannya, Datuk Syed Zainal Abidin Syed Mohamad Tahir, berkata keselamatan pelanggan merupakan yang paling penting bagi syarikat dan panggilan semula itu merupakan komitmen pengurusan untuk menyediakan perkhidmatan berkualiti kepada pelanggan.
"Pemilik model yang terlibat boleh menghubungi mana-mana pusat servis sah Proton bagi pemeriksaan percuma, dan semua kos buruh dan alat-alat ganti berkaitan dengan penggantian clock spring adalah percuma.
"Kami mempunyai bajet dan ia bukanlah dalam jumlah yang besar yang kami perlu peruntuk, ia sekitar RM4 hingga RM5 juta dan saya tidak rasa ia akan menjejaskan Proton," katanya kepada pemberita semasa kunjungannya ke Pusat 3S Platinum Mutiara Damansara, di sini, hari ini.

"Tugas kami bukan untuk bimbang tentang kos tapi untuk memastikan kami membaiki masalah itu dengan segera bagi keselamatan pengguna," katanya.

Ditanya mengapa Proton mengambil "masa yang agak lama" untuk membetulkan masalah itu, Syed Zainal berkata ia bukan masalah mengambil masa yang lama kerana ia perlu menyediakan langkah yang betul bagi masalah itu.

"Berdasarkan kepada bilangan kes, berdasarkan kepada amalan kualiti global standard kami yang membawa kepada beberapa tindakan tertentu yang perlu diambil, kami mengambil langkah tindak balas dengan segera, bekerjasama dengan pembekal kami bagi memastikan langkah timbal balas dilaksanakan," katanya.
"Selepas pengujian dilakukan di kilang kami dan sehingga kami berpuas hati, barulah kami kemudiannya mengambil tindakan ini," katanya.

Proton pada Khamis lalu membuat panggilan semula suka rela kereta Gen2 dan Satria Neo yang dikeluarkan antara 2004 dan 2008 berikutan kerosakan clock spring yang mencetuskan potensi kebimbangan keselamatan.

Clock spring itu menghubungkan suis dan beg udara kepada radio, hon dan kawalan kruis.

Panggilan sukarela itu, sebahagian daripada program Jaminan Kualiti Global syarikat, melibatkan 15,911 unit kereta di seluruh dunia (dua peratus) daripada 660,000 kereta yang dikeluarkan dan dijual dalam tempoh empat tahun berkenaan.

Sejumlah 5,836 kereta di Malaysia terdiri daripada 4,128 Gen.2 1.6 A/T H-Line dan 1,708 Satria Neo 1.6 A/T Hi-Line disediakan dengan fungsi kruis auto.

Bagaimanapun, masalah itu tidak dianggap serius kerana hanya terdapat beberapa kes beg udara yang dilaporkan terpelatuk secara tiba-tiba.

Sehingga semalam, semua 22 negara yang terlibat telah dimaklumkan secara rasmi dan bahagian-bahagian telah dihantar bagi tindakan panggilan semula itu, kata Syed Zainal.

Setakat ini, kira-kira dua juta kereta terdiri daripada pelbagai model Proton berada di atas jalan raya. - BERNAMA

0 comments:

There was an error in this gadget