Followers

Wednesday, September 22, 2010

Malaysia kutuk sebarang penderaan terhadap pekerja: Anifah

PUTRAJAYA: Kerajaan Malaysia mengutuk sekeras-kerasnya sebarang bentuk penderaan terhadap pekerja tanpa mengira kewarganegaraan atau sektor pekerjaan, kata Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman.

Sehubungan itu, katanya, kerajaan serta rakyat Malaysia amat sedih dan terharu di atas kes penderaan terbaru membabitkan seorang pembantu rumah dikenali sebagai Win Faidah yang berasal dari Jawa Timur, Indonesia pada 17 September lalu. "Adalah dikesali bahawa penderaan itu berlaku walaupun majikan dan pembantu rumah sering diberi nasihat sewajarnya," katanya dalam satu kenyataan di sini. Anifah berkata, sehubungan itu, pihak kerajaan melalui Kementerian Luar akan memberi bantuan yang diperlukan kepada kerajaan Republik Indonesia bagi menguruskan perkara berkaitan.

Katanya, Kerajaan Malaysia juga memberi jaminan bahawa Polis Diraja Malaysia serta agensi berkaitan akan membuat siasatan segera dan rapi dan mahkamah akan menjatuhkan hukuman setimpal terhadap pelaku kesalahan itu.

Pembantu rumah berumur 26 tahun itu mendakwa didera secara fizikal dan seksual sejak lebih empat bulan oleh majikannya. Berikutan itu, sepasang suami isteri telah ditahan polis Ahad lalu bagi membantu siasatan berhubung kes itu.

Mereka juga akan turut disiasat menurut Akta Anti Pemerdagangan Orang 2007 berdasarkan bukti serta keterangan yang diperoleh. - BERNAMA

0 comments: