Followers

Wednesday, September 22, 2010

Najib ke New York awal atas permintaan Obama: Jamaludin

PHILADELPHIA: Duta Malaysia Ke Amerika Syarikat, Datuk Seri Dr Jamaludin Jarjis, mengesahkan ketibaan awal Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, ke New York esok berikutan keinginan Presiden Barrack Obama hendak bertemu beliau sebelum bermulanya sesi ke-65 Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA).
Katanya, pemimpin Amerika itu menaruh harapan tinggi hendak mengadakan perbincangan dengan Perdana Menteri bersama semua ketua kerajaan ASEAN yang bakal menghadiri perhimpunan tahunan berkenaan menerusi Mesyuarat Kedua Pemimpin-Pemimpin ASEAN-Amerika Syarikat “Perdana Menteri akan datang awal kerana mendapat jemputan daripada Obama. Saya dimaklumkan, White House berasakan kalau Obama mengadakan pertemuan dengan ketua negara ASEAN tanpa kehadiran Perdana Menteri, ia bagaikan satu kecacatan. “Sebab itu, saya menghantar pesanan kepada Perdana Menteri supaya mengubah jadual kedatangannya ke sini,” katanya ketika ditemui selepas menghadiri sesi mesyuarat meja bulat Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri diketuai Menterinya, Datuk Seri Mustapa Mohamed, dengan lebih 40 ahli perniagaan dan pelabur AS di Hotel Hyatt Philadelphia.

Mengikut jadual asal, Najib dijadual tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Newark Liberty, New York pada pagi Ahad ini.

Perdana Menteri dijadual tiba secara rasmi di New York pada jam 7.50 pagi esok dan kembali ke tanah air pada 28 September.

Mengikut kenyataan daripada Wisma Putra semalam, Perdana Menteri akan diiringi isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor dan Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman serta barisan pegawai daripada Kementerian Luar dan Jabatan Perdana Menteri.
Penyertaan Perdana Menteri dalam sidang kemuncak itu selaras dengan pendirian Malaysia yang menganggap PBB sebagai wadah utama dalam mempamerkan komitmen serta mengukuhkan kerjasama dengan masyarakat dunia bagi mengekalkan keamanan dan keselamatan sejagat.

Najib dijadualkan menyampaikan ucapan pertama beliau sebagai Perdana Menteri Malaysia di Debat Umum Perhimpunan Agung PBB pada 27 September 2010, selain menghadiri Mesyuarat Kedua Pemimpin-Pemimpin ASEAN-Amerika Syarikat pada 24 September yang akan dipengerusikan secara bersama oleh Perdana Menteri Vietnam, Nguyen Minh Triet selaku Presiden ASEAN, dan Obama.

Mengulas lanjut, Jamaluddin menyifatkan jemputan Obama itu adalah satu penghormatan besar kepada Malaysia sekali gus menunjukkan wujud satu anjakan baru dalam hubungan antara AS dan negara ini.

“Kita berasa bangga dengan penghormatan diberikan oleh AS kepada Malaysia. Ini adalah satu anjakan baru kepada kita kalau dibandingkan dengan hubungan terdahulu,” katanya.

Mengenai agenda pertemuan itu, Jamaluddin membayangkan ia bakal menyentuh pelbagai isu berkaitan termasuk mengenai hubungan dagangan baru antara Malaysia dan AS.

Katanya, kedatangan Mustapa dan delegasinya ke Washington DC esok bakal membantu mempercepatkan lagi perbincangan antara kedua-dua pihak bagi membentuk jalinan hubungan perdagangan baru.

“Dulu kita hanya ada hubungan dagangan antara Malaysia dan AS, tapi sekarang kita ada perjanjian baru dikenali Perjanjian Trans Pacific Partnership (TPP). Menerusi perjanjian ini ia akan dilaksanakan secara berkumpulan dengan tujuh negara.

“Justeru, kini kita bukan saja bakal membentuk hubungan perdagangan baru, tetapi juga hubungan dengan tujuh negara lain seperti Chile, Australia, New Zealand, Singapura, Brunei. Bila kita tandatangan perjanjian ini, kita bukan saja dapat pertingkat perdagangan dengan AS malah dengan negara tujuh itu dan dunia,” katanya.

Jamaludin berkata, perkembangan itu jelas adalah selari dengan visi Perdana Menteri yang kini memperkenalkan model ekonomi yang dikenali Model Ekonomi Baru (MEB).

“Ia adalah satu rangsangan baru kepada perdagangan baru Malaysia dengan dunia. Dengan ini kita dapat melihat TPP bakal menjana peluang pekerjaan baru kepada anak muda kita, sekali gus mampu meningkatkan eksport kita sejajar dengan impian negara dan Perdana Menteri,” katanya.

0 comments:

There was an error in this gadget