Followers

Wednesday, September 22, 2010

Peguam Negara arah polis lengkapkan siasatan kes bunuh Sosilawati, tiga lain

KUALA LUMPUR: Jabatan Peguam Negara, mengembalikan semula kertas siasatan kes pembunuhan jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga yang lain kerana berpendapat siasatan dalam pelbagai aspek perlu dijalankan, menurut Ketua Bahagian Pendakwaannya, Datuk Tun Abd Majid Tun Hamzah.
Dalam satu kenyataan, beliau berkata, polis diarahkan untuk melengkapkan siasatan tersebut sebelum menghantar semula ke pihaknya. Beliau berkata, pihaknya telah mengembalikan kertas siasatan itu semalam setelah menerimanya pada hari yang sama kerana banyak lagi perkara yang memerlukan siasatan lebih lanjut. Katanya, Peguam Negara telah memberi beberapa arahan tertentu untuk dijalankan pihak polis dan juga menyiasat kes-kes lain yang dikatakan mempunyai kaitan dengan suspek-supek berkenaan.

Semalam, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, mengesahkan telah menyerahkan kertas siasatan itu kepada Pejabat Peguam Negara dan memberi jaminan laporan lengkap kes pembunuhan berprofil tinggi itu akan siap sepenuhnya dalam tempoh dua minggu.

Laporan itu termasuklah laporan lengkap DNA yang kini giat dilakukan oleh sekumpulan pakar forensik Jabatan Kimia bagi membolehkan pendakwaan dilakukan secepat mungkin.

Selain Sosilawati, 47, yang juga pengasas produk kecantikan, Nouvelle Visages, turut dibunuh pemandunya Kamaruddin Shansuddin, 44, peguamnya, Ahmad Kamil Abdul Karim, 32, dan perunding kewangannya, Noorhisham Mohammad, 38.
Polis kini turut menyiasat empat kes yang melibatkan tiga kes orang hilang dan seorang wanita yang mati dibunuh di hadapan rumahnya di Banting yang di percayai ada kaitan dengan dua peguam yang adalah suspek utama kes pembunuhan Sosilawati.

Antara kes tersebut melibatkan seorang kontraktor, Shafik Abdullah, 37, dan seorang rakannya yang dilaporkan hilang oleh keluarganya lima bulan lalu selepas dipercayai menemui peguam tersebut di ibu negara bagi urusan perniagaan.

Kehilangan Shafik dan rakannya dirujuk di Ibu pejabat Daerah Brickfileds.

Selain itu, ia turut membabitkan kes kehilangan usahawan batu permata, Allal Kathan Muthuraja, 34, dari Chennai, India yang tiba di Malaysia pada 18 Januari lalu.

Allal yang mempunyai perniagaan restoran, hartanah dan barang kemas dilaporkan hilang selepas dijemput kedua-dua suspek terbabit di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA). - Bernama

0 comments: